Monday, August 30, 2010

JAWAPAN KEPADA MZAINI 29 OGOS 2010 - MENGAPA PERTAHANKAN ARY GINANJAR

Pada 29 Ogos jam 12 lebih, Saudara MZAINI telah sempat singgah di blog ini dan memberi komen kepada saya di bawah tajuk Penjelasan Kepada Kekeliruan Prof Zakaria Stapa.

Berikut komen saudara MZAINI :

Salam kepada semua yang sempat membaca blog ini.

Pertama sekali, bersempena bulan Ramadhan al-Mubarak ini, saya memanjat syukur ke hadrat Allah kerana masih diberi kesempatan untuk terus hidup di bumiNya ini.

Saya tak pasti kefahaman HUDA tentang Islam, sebab saya tak tahu latar belakang HUDA. Tapi apa yang pasti semua pelajar di Malaysia yang beragama Islam wajib mengikuti kelas Pendidikan Islam di sekolah menengah atau kalau HUDA tak sempat dengan sistem tu, HUDA mungkin sempat dengan sistem yang mana pelajar boleh memilih sama ada untuk memilih mata pelajaran lukisan sebagai ganti mata pelajaran agama Islam. Adakah HUDA memilih lukisan?

Saya tak nak sentuh panjang-panjang kerana rasanya tak perlupun untuk itu.

Buat masa ni biar saya fokus pada ARI dulu, kalau ada kesempatan saya respon pasal ESQ pula.

Dalam sukatan pelajaran sekolah menengah di Malaysia, antaranya yang di ajar adalah rukun iman (kalau tak salah saya sukatan pelajaran tingkatan 1) dan bagaimana iman seseorang itu boleh terbatal/rosak.

Iman seseorang itu boleh terbatal/rosak melalui:
1. Perbuatan
2. Niat (hati)
3. Perkataan
* Setiap satu adalah berdiri sendiri (cukup hanya salah satu sahaja yang boleh menyebabkan iman seseorang itu rosak/terbatal)

Rasanya tak perlulah meneliti setiap buku ARI atau kena baca dari kulit ke kulit. Sudah memadai jika hanya beberapa petikan sahaja yang membawa ke arah itu (tergelincirnya akidah), betultak?

INGAT, Robin Hood adalah wira kepada masyarakat Barat (Kristian) tetapi penjenayah bagi orang Islam. Hendak melakukan perkara baik, biarlah dengan cara yang baik juga. Islam tidak pernah menghalalkan cara.

HUDA begitu kuat dan lantang MEMPERTAHANKAN ARI, sampai sanggup mengutuk ulama, professor malah mempertikai fatwa mufti. SIAPAKAH ARI di mata HUDA.

MENGAPA HUDA tidak BERMATI-MATIAN mempertahankan Asma al-Husna, nama kepada Tuhan yang HUDA sembah ketika ARI memberikan tafsiran yang menghina terhadap nama-nama tersebut di dalam buku-buku ESQ. Tolong jangan tanya saya soalan yang bodoh, dari mana saya dapat semua ini, lihat semula buku-buku ARI (HUDA dakwa telah banyak meneliti buku ESQ) yang berkaitan (tak kiralah sama ada buku itu di Indonesia atau di Malaysia, IANYA tetap ARI dan tetap ESQ).

INGAT, Mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya adalah termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan imam (Tauhid Asma wa Sifat).

Cukup setakat itu saja. Saya bukan mengundang perbalahan tetapi cuba menjelaskan apa yang betul dan apa yang salah. Semoga saya dan HUDA dan kita semua sentiasa di REDHAI Allah, BUKAN diredhai ESQ atau ARI. Wassalam.



PENJELASAN SAYA :

PERKARA 1 : Sama ada saya mengambil matapelajaran lukisan atau agama. Jawapannya, saya mengambil matapelajaran agama.


PERKARA KEDUA : Iman sesaorang boleh terbatal atau rosak melalui 3 sebab iaitu;

i. Perbuatan
ii. Niat
iii.Perkataan

Menurut saudara MZAINI, tidak perlu baca keseluruhan buku untuk menentukan sesuatu itu sudah ke arah tergelincir akidah atau tidak.

Untuk hal ini, ingin saya jelaskan bahawa saya tahu dan jelas bahawa iman sesaorang boleh rosak kerana Perbuatan, Niat dan Perkataan. Kerana itu kita sebagai umat Islam yang ingin menjaga iman, perlu sangat berhati-hati dalam perkataan, niat dan perbuatan yang kita lakukan. Bimbang tanpa sedar, kita melakukan salah satu dari hal ini hingga menyebabkan iman kita rosak... alangkah malangnya.Sebab itu juga kita diingatkan jangan mudah cepat menuduh orang. kerana silap menuduh, jika salah tuduhan itu ia akan berbalik kepada orang yang menuduh... hati-hati...

Ilmu ini yang utamanya adalah suapaya kita sentiasa berhati-hati dengan niat, perkataan dan perbuatan kita. Bukan hanya untuk kita gunakan untuk mengukur iman orang lain sama ada sudah rosak atau tidak, sebaiknya dan yang utamanya adalah pada saya, kita gunakanlah untuk mengukur dan menjaga iman kita sendiri. Boleh juga jika ada yang berani untuk membawa hujah ini untuk menghukum iman orang lain, tetapi haruslah jelas apa perkataannya, apa perbuatan orang itu hingga dianggap telah merosakkan iman. Contohnya, jika saudara ingin menghukum Dr Ary Ginanjar sebagai salah, sila sebutkan apa perkataan atau perbuatannya yang salah hingga imannya dikira sudah menyimpang? Tentulah niatnya tak boleh nak kita tahukan... melainkan seorang yang kasyaf dan boleh membaca hati orang.

Dari perkataan atau perbuatan Dr Ary itulah baru boleh dibahaskan. Itu juga sekadar membahaskan, mengandaikan sehingga dari situ kita memutuskan dia salah dan rosak aqidah. Tapi kenyataannya hanya Allah yang tahu, apakah benar dia rosak iman. Apatah lagi jika kita tidak membawa apa-apa bukti...


PERKARA KETIGA : MENGAPA SAYA MEMPERTAHANKAN DR ARY GINANJAR SAMPAI SANGGUP UNTUK MENGUTUK ULAMA, PROFESSOR, MALAH PERTIKAI FATWA MUFTI.

Hal ini ingin saya jelaskan, saya hanya menyentuh hujah-hujah berkaitan hal yang dituduhkan. Saya tidak bersetuju dengan hujah yang disampaikan, bukan peribadi sesiapa sama ada dia ulama, mufti atau professor atau ustaz. sesungguhnya yang saya pertahankan adalah juga para ulama, para mufti, bekas mufti yang telah berjasa (berpuluh tahun menjaga kesucian agama) dan juga professor yang menyokong ESQ dan Dr Ary Ginanjar. Panel Syariah ESQ telah diperkecilkan dengan sesuka hati, dituduh menerima wang, dan sebagainya sedangkan mereka berusaha membantu menjelaskan kekeruhan yang timbul. Mereka bekerja tidak mengira waktu meneliti buku dan modul esq... mereka berusaha menasihati dan menyampaikan kebenaran dan membimbing Dr Ary Ginanjar. Mereka berikhtiar menjadi orang tengah antara pihak ESQ dan mereka yang menolaknya atau yang ingin tahu lebih tentang isu yang timbul. Apakah salah tindakan saya membela dan mengangkat pendapat dan hujahan mereka? Mengapa pula saya dianggap menghina ulama? Apakah mufti-mufti yang menyokong ESQ bukan ulama? Panel Syariah ESQ bukan ulama?

Jika kerana tulisan saya menjawab kekeliruan Prof Zakaria Stapa, saya dianggap mengutuk professor, saya sama sekali tidak 'mengutuk' apatah lagi menghina beliau sebagai seorang ilmuan yang saya hormati. tetapi yang saya sampaikan adalah jawapan-jawapan kepada kekeliruan yang jelas dapat saya baca di dalam laporan Penal Pemantau ESQ yang diketuai oleh beliau. Salahkah saya menyampaikan sesuatu yang saya tahu dan yakini benar? Bukankah kita wajib menyatakan kebenaran walaupun terhadap para penguasa, para mufti atau para cerdik pandai?

Jawapan dan penjelasan saya kepada 10 sebab ESQ diharamkan di Wilayah Persekutuan adalah sebuah penjelasan. Bukan mempertikaian wibawa Dato Mufti Wilayah. ESQ di terima oleh banyak negeri yang lain kerana itu jawapan ini saya tujukan khas bagi yang ingin tahu, mengapa di negeri lain ESQ tidak difatwakan menyeleweng. Mengapa ada Mufti yang menyokong dan mengapa ramai yang terus suport ESQ. Apakah sebabnya?

Sekali lagi saya tidak pernah mahu atau berniat menghina para ulama atau ilmuan. Yang saya sampaikan adalah hujahan yang boleh dinilai. Jika benar dan ingin diterima, silakan. Jika tidak, anda mempunyai hak menolaknya.


PERKARA KEEMPAT : MENGAPA TIDAK BERMATI-MATIAN MEMPERTAHANKAN ASMAUL HUSNA

Dalam hal ini, tegas saya nyatakan saya tidak pernah menemui sebarang perkataan Dr Ary Ginanjar di dalam bukunya atau perbuatannya yang menghina atau mencela nama-nama Allah. Malah yang saya temukan dan dapatkan sewaktu membaca buku dan mengikuti trainingnya adalah rasa lebih mencintai Allah. Merasai lebih dekat denganNya dan mahu sungguh-sungguh mengabdikan hidup untuk Allah Yang Esa.

Mungkin salah faham timbul apabila Pak Amin Djamaluddin menyampaikan dan menunjukkan sebuah buku yang menganologikan nama-nama Allah dengan pelbagai hal yang tidak sepatutnya dan buku itu ditunjukkan kulitnya tertera nama penyusunnya sebagai Ary Ginanjar Agustian (Forum 'Wajarkan ESQ di haramkan?' Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, KL 28 Ogos 2010).

Di sini ingin saya tegaskan dan menafikan sekeras-kerasnya buku itu sebagai hasil susunan Dr Ary Ginanjar Agustian. Tanpa dinafikan oleh Dr Ary sendiri, saya sudah tahu buku itu bukan susunan beliau kerana saya sering ke Indonesia dan saya tahu siapa penyusun buku itu dan apa tujuannya.

Malah yang sangat mendukacitakan dan meyedihkan saya ialah hakikat itu sesungguhnya juga diketahui oleh pak Amin Djamaluddin. Pak Ary dan rombongan ESQ telah bertemu beliau dan menjelaskan bahawa buku itu bukan susunan Pak Ary dan siapa penyusun sebenar buku itu dan apa tujuannya. Namun hairan sekali, mengapa Pak Amin sanggup juga menfitnah Dr Ary dengan membawa hal itu ke Malaysia dan menuduh Dr Ary sebagai penyusunnya hanya kerana nama Dr Ary ada di kulit buku itu. Apakah beliau menyangkakan semua orang di Malaysia tidak tahu apa yang sebenarnya? Dan apabila saya berdepan dan bertemu beliau bertanya mengapa beliau lakukan ini, beliau terkedu seketika (seolah terkejut) sebelum kemudiannya bermati-matian mendakwa beliau tidak tahu yang itu bukan buku Pak Ary. Apakah ini ciri seorang kiyai? Siapa yang beliau ingin bohongi? Hingga kemudian beliau menyatakan pada saya, suruh aja Pak Ary nafikan di akhbar... Apakah setelah dinafikan di akhbar baru Pak Amin akan berhenti menyebarkan fitnah? Di mana sifat amanah dan jujur yang wajib di pegang oleh seorang Muslim?

Hal berkaitan isu ini akan saya jawab secara detail dan khusus di bawah tajuk Forum "wajahkah ESQ diharamkan?".

Moga saudara MZAINI membaca jawapan ini. Terima kasih.

Sunday, August 22, 2010

BERHATI-HATINYA PARA ULAMA APABILA MENGHUKUM

Sikap Saidina Ali apabila ditanya tentang KAUM KHAWARIH YANG MEMUSUHINYA

“Apakah mereka (kaum Khawarij) adalah orang-orang kafir?” Imam Ali menjawab, “Tidak , mereka lari dari kekufuran.” “Apakah mereka orang munafik?” tanya mereka lagi. “Tidak, orang-orang munafik tidak berzikir menyebut nama Allah, sedangkan mereka banyak berzikir menyebutNya.” “Lalu kami namakan apakah mereka?” tanya mereka. ”Mereka adalah saudara-saudara kita yang telah memerangi kita.”

Dalam riwayat lain Sayyidina Ali berkata, “Mereka telah ditimpa fitnah, maka mereka buta dan tuli…”


Beberapa pandangan serta pendapat ulama' tentang masalah 'memberi jawapan' atau mengeluarkan fatwa..


- Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, "Orang yang paling terkedepan dalam memberi fatwa, dialah yang paling terkedepan atas api neraka".

- Ibn Mas'ud berkata, "Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan yang diajukan kepadanya, adalah orang gila".

- Kata Ibn Abi Laila, "Aku menemui 120 orang ansar dari kalangan sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Apabila salah seorang ditanya masalah, dia akan menolak supaya diaju kepada yang lain. Yang lain pula menolak supaya diaju kepada yang lain, sehingga kembali kepada orang pertama".

- Al-Sakhtiyani berkata, "Orang yang paling pantas memberi fatwa, dialah yang paling sedikit ilmunya tentang khilaf ulama".

- Kita sepatut lebih malu kepada Imam Malik, yang pernah disoal dengan 50 masalah, beliau tidak menjawab walau satu soalan pun. Imam Malik berkata, "Sesiapa yang mahu menjawab, maka sebelum menjawabnya hendaklah merentangkan dirinya di atas syurga dan neraka, dan bagaimana kesudahannya di akhirat, barulah dia menjawab".

- Imam Malik juga pernah disoal satu masalah, lalu dia menjawab "Aku tidak tahu". Lalu dikatakan kepada Imam Malik, "Ini masalah mudah sahaja". Imam Malik marah dan berkata, "Dalam ilmu tidak ada suatu pun yang ringan".

- Berkata al-Khatib, "Sedikit sahaja orang yang gemar memberi fatwa, berlumba-lumba memberi fatwa, dan senantiasa memberi fatwa, kecuali kuranglah taufiq Allah kepadanya".

- Imam Sahnun pernah disoal satu masalah oleh seorang lelaki. Lalu tiga hari lelaki itu berulang-alik kepada Sahnun dan mendesaknya, "Soalan aku, -semoga Allah membaikkan urusanmu-".

Sahnun berkata, "Wahai sahabat, apa yang boleh aku lakukan dengan soalanmu. Ia rumit. Dalamnya ada banyak pendapat. Dan aku kebingungan padanya".

Lelaki itu berkata, "Kamu (layak menjawab) untuk semua soalan yang rumit".

Sahnun berkata, "Jauh sekali wahai anak saudaraku. Kata-katamu itu bukanlah lebih mendedahkan kamu daripada daging dan tulangku kepada api neraka. Alangkah banyak apa yang aku tidak mengetahui".

Sahnun berkata lagi, "Kalau kamu sabar, aku harap kamu boleh kembali semula dengan persoalan kamu ini. Kalau kamu mahu bertanya kepada orang lain selainku, pergilah dan masalah kamu itu mungkin dijawab segera dalam masa sekejap sahaja".

Ibn Solah berkata, "Dalam kalangan mereka ada yang melambat-lambatkan menjawab soalan yang dia tidak ragu padanya (yakni: tahu jawapannya), dan mereka bertawaqquf dalam masalah yang mudah yang dia boleh menjawabnya

Monday, August 16, 2010

APAKAH ARY GINANJAR MEMPUNYAI KREDIBILITI MENGAJARKAN RUKUN ISLAM, IMAN DAN IHSAN?

BEBERAPA PERTANYAAN KAMI DAPATKAN BERKAITAN KREDIBILITI DR ARY GINANJAR MENYAMPAIKAN SESUATU YANG BERSIFAT ILMU AGAMA. DI SINI KAMI SAJIKAN PENJELASAN YANG MEMERLUKAN PERTIMBANGAN DAN PENILAIAN DARI PEMBACA SENDIRI...


1. Dr Ary Ginanjar, pengasas ESQ model adalah seorang motivator dan businessman yang tidak mempunyai kepakaran yang diiktiraf dalam bidang ilmu agama. Bagaimana beliau mampu mengajarkan nilai Islam, Iman dan Ihsan?

Dr Ary Ginanjar adalah penerima Dr. Honoris Causa (HC) di dalam bidang Pembinaan karakter dari Universiti Yogjakarta. Beliau pernah dianugerahkan sebagai salah seorang dari 7 tokoh perubahan (Agents of Change) 2005 di Indonesia oleh Majalah Republika (31 Dec 2005). Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai salah seorang The Most Powerful People and Ideas in Business in 2004 oleh SWA magazine (20 Dec 2004). Apa yang disampaikan di dalam Training ESQ bukanlah perbahasan ilmu agama. Yang disampaikan adalah modul-modul untuk pembinaan karakter menggunakan pendekatan Ihsan, Iman dan Islam sebagai alternatif kepada model-model pembentukan karakter (Pembangunan Modal Insan) dari barat. ESQ komited untuk mengangkat Model Pembentukan karakter melalui dasar utama Al Quran dan Al Hadis untuk diguna pakai di dalam dunia pengurusan, kepimpinan, pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Sesuai peranan para ulama sebagai pembimbing umat, Dr Ary Ginanjar sebagai pengasas ESQ Model dan penulis buku ESQ, sentiasa merujuk kepada tokoh-tokoh agama yang disegani sebelum, buku dan training ESQ dijalankan. Sepanjang Training ESQ berlangsung (sekitar 10 tahun di Indonesia) Modul ESQ terus diperbaiki hasil dari perbincangan dan pandangan para tokoh agama dan masyarakat. Bagi meneruskan tradisi ini, di Malaysia ESQ sejak awal (Julai 2008) telah memohon nasihat JAKIM tetapi tidak mendapat bimbingan seperti yang diharapkan. Ia berakhir dengan kontroversi seperti apa yang berlaku saat ini, yang semakin hari semakin membingungkan. Dengan pelbagai komen dan tuduhan, ia kini bukan lagi dilihat sebagai sebuah perbincangan ilmiah tetapi lebih kepada usaha untuk membunuh imej dan wibawa Dr Ary Ginanjar dan ESQ Leadership Center. Training ESQ yang telah membawa perubahan kepada puluhan ribu rakyat Malaysia dan membantu proses transformasi syarikat-syarikat besar di Malaysia, tetap dianggap sebagai sebuah training dari ’luar' yang dipandang penuh prajudis.

Walaupun ESQ telah mempunyai 5 orang Panel Syariah dan Akidah dari tokoh ulama tempatan, tetapi kradibiliti mereka telah dengan sengaja diragui dan dipertikaikan secara tidak adil dan terancang. Tidak pernah sebelum ini di Malaysia, sebuah syarikat Training/Motivasi melantik 5 orang Panel Syariah dan Aqidah yang terdiri dari Mantan-Mantan Mufti, Mantan Pengarah JAKIM dan seorang Dekan Fakulti Quran dan Sunnah di sebuah Universiti. Apakah sebenarnya kredibiliti Dr Ary Ginanjar yang diragui, atau kredibili ulama-ulama senior ini yang tidak lagi dipeduli? Hanya kerana mereka dilantik oleh sebuah 'syarikat' seolah-olah ulama-ulama ini sudah tidak lagi dianggap 'alim dan amanah. Apakah logiknya 5 orang ulama tempatan yang disegani selama ini, seolah sanggup 'menggadai' perjuangan mereka puluhan tahun menjaga umat Islam di Malaysia selama ini, hanya kerana 'upah' dari ESQ? Sesungguhnya, inilah yang sepatutnya menjadi tanda-tanya kita semua... Marilah kita umat Islam di Malaysia berfikir dan merenung. Mengapa 5 orang ulama ini menyokong dan berjuang membela ESQ yang berasal dari seberang? Ada apa pada ESQ yang mereka lihat tetapi tidak terlihat oleh yang menentang?

Bagaimana pula dengan Mufti-Mufti yang tidak ada apa-apa kepentingan di ESQ. Mengapa mereka begitu support dan menggalakkan ESQ dijalankan di negeri-negeri mereka? Seperti Tan Sri Harussani (Mufti Perak), Dato' Hassan (Mufti Pulau Pinang), Mufti Kedah, Johor, Pahang dan Serawak? Apakah pandangan mereka tidak lagi diambil kisah?. Apakah ulama-ulama yang begitu berwibawa ini menjadi turun wibawanya hanya kerana mereka menyuarakan sokongan kepada ESQ? Persoalannya, mengapa mereka menyokong ESQ diteruskan? Apakah mereka tidak sebijak dan sealim para penyelidik yang 'mengharamkan' ESQ? Apakah mereka tidak dapat mengesan 'kesesatan' ESQ sekiranya ada? Sebenarnya... Kredibiliti siapakah yang sedang dijatuhkan?

Bahkan keputusana dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia juga, seolah tidak dipedulikan dan tidak mempunyai 'nilai' untuk dipegang. Pelbagai komen diberikan oleh 'Pegawai Penjelidik' kepada wibawa seorang Pengerusi jawatankuasa Fatwa. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang selama ini ditubuhkan dengan tujuan menyelaraskan fatwa-fatwa, kini diletakkan sebagai sebuah jawatankuasa yang tidak mempunyai kuasa dan otoriti apa-apa. Sedangkan hal ini jelas disebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan, Prof Tan Sri Dato' Dr Abdul Shukor Hj Husin di dalam Kenyataan Medianya bertarik 14 Ogos, di point ke 7 beliau menyatakan "Di sini ingin saya menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Muzakarah tidak mempunyai kuatkuasa dari segi undang-undang dan hanya bersifat pandangan hukum, terpulanglah kepada negeri untuk menerima pakai atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enekmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, sekiranya isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan Muzakarah perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang fatwa dikeluarkan oleh negeri. Matlamatnya ialah bagi mewujudkan penyelarasan dalam hukum hakam yang dikeluarkan di Malaysia".

Apakah yang sebenarnya sedang berlaku sekarang ini? Jika dahulu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diwujudkan dengan hasrat menselaraskan fatwa-fatwa terutama yang bersifat nasional, tetapi untuk kes ESQ, ia seolah sudah 'berubah'. Negeri-negeri seolah digalakkan dan 'direstu' membuat keputusan atau fatwa masing-masing. Apakah sememangnya ini dasar yang ingin dipertahankan atau dasar yang berubah khusus untuk menangani isu ESQ? Di mana kredibiliti Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Ugama Islam malaysia?

Jelas di sini, apa yang berlaku bukan soal meragukan kredibiliti Dr Ary Ginanjar untuk menyampaikan nilai Islam, Iman dan Ihsan, tetapi kredibiliti Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang telah memutuskan membenarkan ESQ berjalan. Seolah, pertimbangan dari 'Pegawai Penyelidik' dan beberapa orang ahli akademik lebih tinggi dan tepat berbanding ilmu, kematangan, wibawa, pengalaman dan keikhlasan Pengerusi jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan kesemua ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang dilantik dan dipilih dengan sangat teliti dan hati-hati, serta mewakili negeri-negeri dengan penuh amanah dari Allah. Mari kini renungkan bersama...

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Dr Ary Ginanjar iaitu membawa ilmu Iman, Islam dan Ihsan ke dunia pengurusan Modal Insan dan pentadbiran, adalah sebuah usaha seperti yang dikehendaki oleh Rasulullah dalam hadisnya, ”Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat...”. Hujah mengatakan Dr Ary Ginanjar tidak mempunyai kredibiliti berbicara soal agama, adalah tertolak dengan sendirinya apabila ia disupport oleh ulama-ulama yang sangat berwibawa. Seharusnya semua umat Islam perlu digalakkan bercakap hal agama, kerana itulah hal yang paling mulia untuk diperkatakan tidak mengira apa latarbelakang mereka. Para ulama menjadi pembimbing dan tempat rujuk bagi membetulkan jika berlaku salah tafsir. Di dalam Islam, setiap inci kehidupan adalah persoalan agama dan perlu difahami, dibicarakan dan diamalkan oleh semua. Para ulama dimuliakan kerana mempunyai keistimewaan dengan kelebihan ilmunya yang berperanan membimbing ummat. Terutama di saat pelbagai masalah gejala sosial melanda masyarakat kita. Ahli agama yang mempunyai ilmu sarat di dada, saatnya turun gelanggang mendekati rakyat dan mencari pendekatan paling berkesan bagaimana untuk membaikai keadaan ini segera. Tenaga pakar dalam bidang pembinaan karakter seperti Dr Ary Ginanjar, seharusnya menjadi 'kawan' untuk menyelesaikan masalah ummat. Ilmu Islam yang benar dan mulia, yang selama ini tersimpan di dada dan di sijil-sijil para ulama harus masuk segera ke hati-hati rakyat yang kering dan kontang. Bukankah ciri para pewaris nabi itu sangat tawadhuk dan merendah diri. Mereka ibarat air yang mengalir membasahi bumi yang kontang. Menghilangkan dahaga para musafir pencari kebenaran. Lebih banyak ilmu, lebih merunduk ke bumi... seperti Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang mengambil keputusan atas pertimbangan berikut " ahli-ahli Muzakarah bersetuju mengambil pendekatan berbincang, mendidik dan memperbetulkan apa jua keraguan yang ditimbulkan daripada terus menghukum..." (Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan)


2. Jadi sesungguhnya apakah ESQ membawa ajaran atau ideologi baru?

ESQ Training tidak membawa ajaran atau ideologi baru. Asas modul ini adalah 5 rukun Islam, 6 Rukun Iman, dan Ehsan dan bagaimana mengaplikasi semua hal ini dalam kehidupan.

Penggunaan istilah-istilah baru seperti ’God Spot’, ’conscience’, ’Zero Mind Prosess’, ’Mission Statement, ’Character Building’, dan lain-lain lagi adalah hanya sebagai jambatan menyampaikan nilai-nilai Islam, Iman dan Ihsan kepada para tokoh korporat dan pembisness tulen yang selama ini tidak tertarik kepada nilai-nilai agama untuk dibawa ke dunia pengurusan dan pembangunan Modal Insan.

Apa yang baru di dalam training ini adalah pendekatannya (metodologi). Manusia hari ini terdedah dengan kemajuan teknologi yang sangat dahsyat. Untuk mendekati mereka juga, harus mnggunakan teknologi yang sesuai dengan zaman. Di training ESQ, di gunakan sepenuhnya kecanggihan multimedia sistem bunyi 10,000 watt, 3-5 LCD screen 3x4 meter supaya ia benar-benar dapat menyentuh perasaan dan mengugah pemikiran peserta. Di samping peralatan, ESQ juga menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran yang diikhtiraf dunia keberkesanannya seperti Quantum Learning, Neuro Linguistic Programming (NLP) dll. Semua teknik atau pendekatan ini melalui proses R&D yang teliti dan menelan belanja jutaan ringgit demi menjamin keberkesanan training. Semua teknik ini penting digunakan supaya ESQ menjadi training yang menarik untuk diikuti hingga para peserta mampu duduk di dalam dewan, mendengar tentang kebenaran Al Quran dan keindahan Islam selama 3 hari.

(Hal ini akan dibahaskan lebih mendalam di dalam Jawapab & Penjelasan kepada tuduhan dan Fitnah oleh Aizam Masoud.



3. Apakah Teknologi canggih yang digunakan akan membuatkan peserta hayal atau terpukau untuk jangkamasa tertentu sahaja?

Di training selama 3 hari, peserta mendapat kesedaran tentang makna hidup dan apa yang perlu mereka lakukan untuk menjadi manusia yang berjaya dan bahagia. Ketenangan dan kebahagiaan yang kebanyakan dari peserta rasakan selama 3 hari di training adalah apabila mereka menemui makna sebenar kehidupan dan keyakinan yang masuk menjunam ke hati akan keberadaan dan keesaan Allah. Hidup yang selama ini terpisah IQ, EQ dan SQ (akal, hati dan jiwa) menyebabkan mereka tidak bahagia dan sering rasa ketidakpuasan. Setelah training, ketiga kecerdasan itu akan digabungkan dan kecerdasan Spiritual (Kerana Allah) akan menjadi pusatnya. Mereka akan terdorong untuk terus mencari ilmu demi kebahagian dan kejayaan, tetapi kali ini dengan niat sebagai pengabdian kepada Allah. Berpandu kepada Al Quran dan Sunnah.

Sejauh mana keberkesanannya, tergantung kepada pengamalan dan penghayatan mereka setelah training kepada nilai-nilai Rukun Iman dan Islam. Nilai-nilai ini harus diyakini dan dipegang teguh hingga ke akhir hayat. Proses pembersihan hati dan fikiran iaitu Zero Mind Proses juga perlu berjalan berterusan. Tiga hari training bukan jaminan peserta akan berubah seumur hidupnya. Tetapi 3 hari training adalah sebuah perubahan paradigma dan permulaan sebuah perjalanan pembaikan diri menjadi manusia lebih baik dan dekat kepada Allah SWT dan menjadi manusia yang gigih berusaha memajukan agama dan negaranya.



4. Mengapa ESQ menggunakan nombor 165 seolah ia nombor yang berkat?

165 adalah singkatan dari 1 Ihsan kepada Allah Yang Maha Esa, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam.

Ia bukan nombor yang berkat atau nombor tuah tetapi hanya singkatan yang boleh memudahkan peserta mengingati nilai Ihsan, Iman dan Islam yang menjadi asas ajaran Islam dan diambil menjadi model pelatihan ESQ. Di hari pertama, nilai Ihsan disampaikan. Peserta melalui Outer Journey untuk menanamkan keyakinan (keimanan) kepada Allah dalam setiap saat kehidupan. Inner Journey bagi merasai keberadaan Allah di setiap waktu. Melakukan Zero Mind Prosess (ZMP) untuk membersihkan hati dari belenggu-belenggu yang menutupi kebersihan hati. Di hari kedua training, 6 prinsip dibangunkan dari nilai 6 Rukun Iman iaitu meletakkan Allah sebagai tujuan hidup, Malaikat mencatat segala amalan, nabi & Rasul sebagai teladan, Al Quran sebagai pedoman, hari kemudian tempat tujuan dan Ikhlas sebagai sikap apabila berhadapan dengan takdir yang tidak terdugakan. Di hari ketiga pula 5 langkah pelaksanaan dibangunkan dari nilai 5 Rukun Islam iaitu Langkah 1, penyataan Misi melalui nilai syahadah, Langkah 2 Pembentukan Karakter melalui nilai solat, langkah 3Pengawalan Diri melalui nilai Puasa, Langkah 4 mengeluarkan Potensi & kerjasama melalui nilai zakat dan langkah 5 Total Action melalui Nilai Haji. Nombor tidak mampu membawa keberkatan atau tuah. Apa yang mampu mengubah manusia adalah hidayah dari Allah. Apa yang dilakukan di training ESQ adalah usaha memberi kefahaman, menanam keyakinan dan menjelaskan aplikasi dari nilai Ihsan, Iman dan Islam untuk diguna pakai dalam setiap inci kehidupan manusia.



5. Jika ESQ hanyalah sebuah metodologi, mengapa perlu di dalam Training ESQ mencampur adukkan ilmu Islam dengan ilmu barat?

Ilmu yang benar semuanya adalah bersumber dari Allah SWT. Dan kayu ukur kepada semua ilmu yang benar itu adalah Al Quran dan Hadis. ESQ Training yang merupakan pelatihan Modal Insan berteraskan Ihsan, Iman dan Islam tidak mungkin lepas dari menggunakan atau merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Teori barat atau penemuan Sains yang diguna pakai di dalam Training ESQ hanyalah untuk menyerlahkan kebenaran yang dibawa oleh Al Quran. Contohnya seperti istilah ’God Spot’ untuk membantu menghuraikan bagaimana manusia itu dilahirkan dengan fitrah bertuhan. Ia bukan sebuah ideologi tetapi metodologi supaya para peserta yang terdedah dengan sains sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi dapat memahami dengan cepat kebenaran-kebenaran Al Quran yang ingin disampaikan.



6. Apakah ESQ sebenarnya badan dakwah atau sebuah entiti perniagaan?

ESQ leadership Center Sdn Bhd adalah sebuah entiti perniagaan yang telah diperbadankan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965 pada 18 September 2006. Ia dibiayai sepenuhnya oleh ESQ Leadership Center Sdn Bhd tanpa apa-apa bantuan dari kerajaan atau mana-mana pihak dari dalam mahupun luar negara. Ia ditubuhkan dengan cita-cita untuk membentuk identiti mulia masyarakat yang berpegang kepada nilai Ihsan, Iman dan Islam. Training ESQ dijalankan bermula dari peringkat kanak-kanak, remaja, mahasiswa, dewasa dan korporat. Kos penyelenggaraan Training yang tinggi menyebabkan ia perlu dikenakan biaya supaya dapat terus bertahan meneruskan operasinya tanpa perlu tergantung dengan belas ihsan para penderma atau tabung-tabung bantuan kerajaan. Setiap yang menyertai training dikenakan bayaran sesuai dengan kemudahan, kelengkapan training dan penyelidikan bahan-bahan training yang disediakan.

Kesan latihan ini ke atas pembentukan karakter terbukti sangat signifikan untuk tujuan penyatuan ketiga-tiga kecerdasan manusia dan mengeluarkan nilai-nilai intrinsik seperti kerjasama, kejujuran, keprihatinan, disiplin dan sebagainya di kalangan warga kerja, pelajar, anak-anak, rumahtangga dan masyarakat keseluruhannya. Apakah ia boleh ditafsirkan sebagai satu dakwah, tergantung kepada definis dakwah itu yang dipegang oleh individu itu sendiri. Tidak ada gunakan sesebuah badan mengaku berdakwah jika tidak berkesan kepada masyarakat yang didakwahnya. Mengaku sebagai badan dakwah tidaklah sepenting melakukan kerja atau tanggungjawab berdakwah. Samaada ESQ berdakwah atau tidak, hanya kesan dari training yang boleh menjawabnya. Menyedarkan dan memperbaiki masyarakat adalah jauh lebih penting dan utama dari mengaku atau ingin diiktiraf sebagai pendakwah.

Friday, August 13, 2010

USTAZ ARIFFIN MENYELEWENGKAN FAKTA

12 PENYELEWENGAN OLEH MUHAMMAD ARIFFIN BIN ISMAIL DI DALAM KERTAS KERJANYA “GERAKAN ISLAM MENDEPANI PLURALISME AGAMA”


7 Ogos 2010 - di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, telah berlangsung seminar Pemurnian Akidah 2010, anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP). Terdapat sebuah kertas kerja yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Ariffin Ismail dengan tajuk “Gerakan Islam Mendepani Pluralisme Agama”.

Di dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Ariffin itu, terdapat banyak kesalahan dan penyelewengan fakta yang dilakukan dengan sengaja terhadap buku tulisan Dr Ary Ginanjar Agustian, ESQ : Emotional Spiritual Quotient (2001). Pihak ESQ tidak mendapat kesempatan menjelaskan kekeliruan yang dibuat di atas pentas Pusat Islam yang mulia.

Di sini dinyatakan kekeliruan tersebut, beserta penjelasannya supaya dapat dinilai dengan adil oleh masyarakat.


PENYELEWENGAN 1 : PETIKAN DIAMBIL SECARA TIDAK BERETIKA

Di muka surat 15, Muhammad Ariffin Ismail memetik buku Dr Ary Ginanjar seperti berikut;

Dalam Prolog buku ESQ : Emotional Spiritual Quotient, Ary Ginanjar Agustian menjelaskan bahawa “Kecerdasan Spiritual (SQ) pertama kali digagas oleh Danah Zohar dan Ian Marshal, masing-masing dari Harvard University dan Oxford University melalui riset yang sangat komprehensif. Pembuktian ilmiah tentang kecerdasan spiritual yang dipaparkan Zohar dan Marshall dalam SQ, Spiritual Quotient, The Ultimate Intellegence (London, 2000) dua di antaranya adalah : Pertama, riset pakar saraf Michael Persinger pada awal tahun 1990-an dan lebih mutakhir lagi tahun 1997 oleh pakar saraf V.S. Ramachandran dan pasukan dari California University yang menemukan eksistensi God-Spot dalam otak manusia. Ini sudah built-in sebagai pusat spiritual (spiritual center) yang terletak pada jaringan saraf dan otak. Sedangkan bukti kedua adalah riset pakar saraf Austria, Wolf Singer pada era tahun 1990-an atas Binding Problem yang menunjukkan ada proses saraf dalam otak manusia yang terkonsentrasi pada usaha yang mempersatukan dan memberi makna makna dalam pengalaman hidup kita. Suatu jaringan saraf yang secara literal “mengikat” pengalaman kita secara bersama untuk hidup lebih bermakna… (ADA SATU AYAT YANG DI HILANGKAN DI PERENGGAN INI, DIHILANGKAN JUGA SATU PERENGGAN PENTING SEBELUM DISAMBUNG DENGAN PERENGGAN BERIKUTNYA ) Kebenaran sejati sebenarnya terletak pada suara hati yang bersumber dari spiritual center ini, yang tidak bisa ditipu oleh sesiapapun, atau oleh apapun, termasuk diri kita sendiri. Mata hati ini dapat mengungkap kebenaran hakiki yang tak tampak di hadapan mata”.


PENJELASAN :

Menurut Muhammad Ariffin, beliau mengambil petikan itu dari buku Ary Ginanjar, ESQ : Emotional Spiritual Quotient, Agra, 2001, hal. xxxvii.

Setelah disemak kepada buku yang dimaksudkan, ternyata ada ayat yang sengaja dihilangkan, begitu juga sebuah perenggan yang penting sebelum menyambungnya dengan perenggan lain. Hal ini sangat jelas boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada orang yang membacanya.

Petikan yang sebenar adalah seperti di bawah ;

Kecerdasan Spiritual (SQ) pertama kali digagas oleh Danah Zohar dan Ian Marshal, masing-masing dari Harvard University dan Oxford University melalui riset yang sangat komprehensif. Pembuktian ilmiah tentang kecerdasan spiritual yang dipaparkan Zohar dan Marshall dalam SQ, Spiritual Quotient, The Ultimate Intellegence (London, 2000) dua di antaranya adalah : Pertama, riset pakar saraf Michael Persinger pada awal tahun 1990-an dan lebih mutakhir lagi tahun 1997 oleh pakar saraf V.S. Ramachandran dan pasukan dari California University yang menemukan eksistensi God-Spot dalam otak manusia. Ini sudah built-in sebagai pusat spiritual (spiritual center) yang terletak pada jaringan saraf dan otak. Sedangkan bukti kedua adalah riset pakar saraf Austria, Wolf Singer pada era tahun 1990-an atas Binding Problem yang menunjukkan ada proses saraf dalam otak manusia yang terkonsentrasi pada usaha yang mempersatukan dan memberi makna dalam pengalaman hidup kita. Suatu jaringan saraf yang secara literal “mengikat” pengalaman kita secara bersama untuk hidup lebih bermakna. Pada God-Spot inilah sebenarnya terdapat fitrah manusia yang terdalam.

Akan tetapi SQ dari barat itu, atau Spiritual Intellegent tersebut belum atau bahkan tidak menjangkau ketuhanan. Pembahasannya baru sebatas tataran biologi atau psikologi semata, tidak bersifat transcendental. Akibatnya kita masih merasakan adanya ‘kebuntuan’.
Kebenaran sejati sebenarnya terletak pada suara hati yang bersumber dari spiritual center ini, yang tidak bisa ditipu oleh sesiapapun, atau oleh apapun, termasuk diri kita sendiri. Mata hati ini dapat mengungkap kebenaran hakiki yang tak tampak di hadapan mata. Bahkan kata sufi Islam Jalaluddin Rumi, “mata hati punya kemampuan 70 kali lebih besar untuk melihat kebenaran daripada dua indera penglihatan (Mathanawi, vol. 4)
Ayat yang yang di Bold di atas ditinggalkan oleh Muhammad Ariffin apabila memetik buku Ary Ginanjar, dan hal ini jelas boleh membawa penafsiran yang salah kepada makna keseluruhan petikan di atas.


KESIMPULAN :
Hal ini adalah sangat tidak beretika dan tidak jujur untuk dilakukan oleh sesaorang yang dihormati dan dipercayai oleh masyarakat. Apatah lagi untuk seorang yang dianggap ‘tokoh agama’. Apakah ada kaedah ilmiah membahaskan sesuatu perkara yang penting, petikan buku sesaorang boleh dipotong atau disambung sesuka hati? Ini bukan saja salah dari segi moral, malah secara ilmiah, kertas kerja ini tertolak kerana penyelidikan yang dilakukan diragui kaedahnya.


PENYELEWENGAN 2 : MENGELIRUKAN PEMBACA DENGAN KEBENARAN SEJATI

Muhammad Ariffin menulis ;

Ary Ginanjar menyatakan dalam buku ESQ bahawa :”. Kebenaran sejati sebenarnya terletak pada suara hati yang bersumber dari spiritual center ini. Spiritual center yang dimaksudkan adalah God Spot yang built-in sebagai pusat spiritual yang terletak pada jaringan saraf otak.



PENJELASAN :

Muhammad Ariffin Ismail membuat kesimpulan tanpa melihat konteks ayat keseluruhannya. Ayat dari buku Dr Ary Ginanjar iaitu “Kebenaran sejati sebenarnya terletak pada suara hati yang bersumber dari spiritual center ini” adalah merujuk kepada perenggan yang telah dibuang atau dihilangkan oleh Muhammad Ariffin.

Cuba lihat semula petikan di bawah dengan memberi tumpuan kepada petikan yang dibuang (yang dihitamkan) ;

Pada God-Spot inilah sebenarnya terdapat fitrah manusia yang terdalam.
Akan tetapi SQ dari barat itu, atau Spiritual Intellegent tersebut belum atau bahkan tidak menjangkau ketuhanan. Pembahasannya baru sebatas tataran biologi atau psikologi semata, tidak bersifat transcendental. Akibatnya kita masih merasakan adanya ‘kebuntuan’.

Kebenaran sejati sebenarnya terletak pada suara hati yang bersumber dari spiritual center ini, yang tidak bisa ditipu oleh sesiapapun, atau oleh apapun, termasuk diri kita sendiri. Mata hati ini dapat mengungkap kebenaran hakiki yang tak tampak di hadapan mata. Bahkan kata sufi Islam Jalaluddin Rumi, “mata hati punya kemampuan 70 kali lebih besar untuk melihat kebenaran daripada dua indera penglihatan (Mathanawi, vol. 4)

Apa yang cuba dijelaskan oleh Dr Ary Ginanjar dari ayat “kebenaran sejati sebenarnya terletak pada suara hati…” adalah menjelaskan bahawa penemuan SQ atau Spiritual Intelligent dari barat tersebut belum atau bahkan tidak menjangkau ketuhanan. Kerana itu, mereka gagal menjelaskan dari mana datangnya nilai-nilai kebaikan yang ada di dalam hati manusia.

Siapakah yang menciptakan suara hati atau mata hati yang disifatkan oleh Jalaluddin Rumi sebagai “mata hati punya kemampuan 70 kali lebih besar untuk melihat kebenaran daripada dua indera penglihatan” jika bukan Allah?

Suara hati yang dimaksudkan oleh Dr Ary Ginanjar Agustian adalah suara hati murni yang diciptakan Allah dan mengikut landasan Al Quran dan As Sunnah. Ia adalah sumber kebenaran yang diilhamkan Allah kepada hati yang suci seperti apa yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al Quran (terjemahannya) ;

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan jalan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya, dan sungguh rugilah orang yang mengotorinya” (Surah As-Syams : 8-10)


KESIMPULAN :
Apa yang cuba disampaikan oleh Dr Ary Ginanjar melalui petikan di atas adalah hakikat bahawa sebenarnya kebenaran sejati itu terletak pada suara hati yang bersumber dari spiritual center. Yang dimaksudkan spiritual center adalah FITRA. Ia telah dinyatakan di perenggan awal tetapi dihilangkan oleh Muhammad Ariffin.

Menghilangkan satu ayat yang menerangkan tentang FITRAH dan satu perenggan yang mempertikaikan penemuan barat kelihatan sengaja dilakukan oleh Muhammad Ariffin untuk menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada tulisan Dr Ary Ginanjar. Apa yang dilakukan ini sangat mengelirukan dan berniat hanya untuk membenarkan tuduhan/pendangannya. Bukan sebuah perbincangan ilmiah yang jujur.


PENYELEWENGAN 3 : ESQ SEOLAH DIBUAT MENOLAK KEBENARAN DARI ALLAH
Setelah menyelewengkan petikan dari buku Dr Ary Ginanjar, Muhammad Ariffin berhujah pula bahawa kebenaran yang sebenar adalah dari Allah. Lihat petikan kertas kerja Muhammad Ariffin di halaman 16 ;

Dalam Islam kebenaran itu hanya datang dari Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, sebagaimana dinyatakan dalam Al Quran, terjemahannya “Sesungguhnya orang yang beriman itu mengetahui bahawa kebenaran itu datang dari Tuhannya” (Surah Al Baqarah: 26). “Kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka janganlah engkau menjadi orang yang ragu” (Surah Al Baqarah : 148, Ali Imran : 60)


PENJELASAN :
ESQ menyampaikan kepentingan suara hati dan keperluan mengikutinya kerana ia adalah ajaran Islam. Di dalam buku ESQ, halaman 81 (2001) makna Suara Hati yang digunakan oleh Dr Ary Ginanjar adalah jelas seperti berikut:

“Dan sememangnya di dalam diri manusia itu terdapat sifat-sifat yang (secara fitrah) sentiasa inginkan keindahan dan kemuliaan. Itulah hakikat sebuah jiwa yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia. Ia merupakan modal dan teras kejayaan. Maka gunakanlah suara hati tersebut.”

Di dalam buku ESQ tulisan Dr Ary Ginanjar, tidak pernah ada kenyataan yang menolak kebenaran itu dari Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Suara hati adalah adalah ciptaan Allah yang diberikan kepada manusia. Hakikatnya, kebenaran itu adalah dari Allah. Tidak ada hal yang bertentangan dengan ayat Al Quran.

Malah di dalam buku ESQ tulisan Dr Ary Ginanjar yang dirujuk oleh Muhammad Ariffin (2001) itu jelas meletakkan AL QURAN SEBAGAI PEDOMAN PUNCAK (lihat di bawah tajuk learning Principle halaman 130 cetakan awal dan halaman 188 di cetakan kemudian, ESQ (versi Bahasa Malaysia, halaman 222) Dr Ary menerangkan ;

Bayangkan jika anda perlu membuat suatu keputusan penting tetapi keliru dengan pelbagai dorongan suara hati. Kadangkala anda menjadi bingung dan tidak mampu lagi memutuskan apa yang perlu didahulukan dan apa yang paling tepat. Contohnya anda diminta membuat keputusan untuk menyelesaikan suatu masalah. Anda diminta untuk bersikap penyayang dan pengasih, jujur, adil, tegas dan bijaksana. Beberapa pilihan diberikan kepada anda dan anda perlu membuat keputusan dengan segera. Kes yang anda hadapi adalah anda menangkap seorang pencuri yang terpaksa mencuri kerana ingin membeli ubat untuk anaknya yang sedang sakit tenat. Wang yang dicuri itu adalah milik seorang perempuan tua yang sudah dua hari tidak makan. Pencuri itu pula merupakan seorang sepupu anda. Masalah bertambah rumit kerana anda sedang ditonton oleh ramai orang yang ingin mengetahui keputusan anda. Sementara itu, bapa saudara anda (ayah pencuri itu) menelefon anda dan meminta anda berusaha menyelamatkan anaknya. Saya tidak bermaksud meminta anda menjawab pertanyaan di atas, tetapi saya ingin menjelaskan bahawa Al Quran akan memberikan bimbingan untuk mengatasi masalah-masalah yang memerlukan kebijaksanaan tanpa membebani manusia.

“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Walaupun orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin. Kerana Allah lebih tahu kemaslahatannya. Oleh itu janganlah kamu turuti nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” Terjemahan Surah An Nisaa’ 4 : 135

Petikan di atas menjelaskan bahawa Al Quran adalah pedoman atau rujukan utama. Ini menafikan dakwaan bahawa ESQ menjadikan suara hati sebagai kebenaran mutlak.


KESIMPULAN :Ayat Al Quran yang dibawa oleh Muhammad Ariffin bahawa kebenaran dari Allah adalah semata-mata bertujuan meragukan masyarakat umum kepada ESQ dan pemikiran Dr Ary Ginanjar.

Sebagai kesimpulannya, petikan buku Dr Ary Ginanjar telah dikelirukan. Dr Ary tidak pernah menulis atau mengeluarkan kenyataan menolak bahawa kebenaran itu dari Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Suara hati yang diajarkan di dalam buku dan Training ESQ adalah suara hati nurani yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah dan kerana itu kebenaran adalah Al Quran dan As Sunnah, sumber suara hati murni.



PENYELEWENGAN 4 : SUARA HATI DARI AJARAN KRISTIAN DAN YAHUDITidak cukup menyelewengkan kenyataan Dr Ary Ginanjar, di dalam kertas Kerja Ustaz Ariffin muka surat 16, beliau cuba pula menyamakan suara hati dengan ajaran Theosophical Society, Kristian dan Kabbala.

Antara petikannya adalah ;

Jika sejati itu adalah suara hati, itulah yang disebut oleh Rene Geunon dengan kebenaran abadi “meski bentuk-bentuk (tradisi) itu mungkin banyak dan beragam.. metafisik tetaplah satu, sebagaimana Kebenaran (The Truth) tidak lain hanyalah satu”. Pernyataan inilah yang tertulis di bawah lambang Theosophical Society “No religion higher than Truth” tidak ada agama yang lebih tinggi dari kebenaran.

Untuk terus menguatkan pertuduhannya, Muhammad Ariffin memetik juga pandangan seorang Mufti ;

“Menurut Mufti Wilayah SS Wan Zahidi Wan Teh, konsep suara hati adalah merupakan ajaran Kristian, berdasarkan buku “Menembus batas tradisi” karangan Franz Magnis Suseno S.J ahli teologi Jerman yang menetap di Indonesia. Oleh sebab itu suara hati merupakan ajaran kristian yang cuba disebarkan dalam kursus ini (ESQ). ini terbukti apabila ‘suara hati’ diulang sebanyak 93 tempat dan merupakan istilah paling banyak digunakan dalam bukunya ini”

Tidak cukup itu, Muhammad Ariffin menambah lagi dengan merujuk sebuah buku dari pendita Yahudi ;

“Konsep ‘suara hati’ juga merupakan pusat dalam kehidupan spiritual yahudi sebagaimana dinyatakan oleh Rabbi Yaacov J. Kravitz dalam laman web Spiritual Intelligence bahawa : “Spirituality refers to what is most essential to the heart of human experience”. Malahan menurut Rabbi Yaacov, suara hati (heart) itu juga dapat merupakan singkatan dari “Heart, Enthusiasm, Awareness, Respet, Tradition”.

Spiritual Intelligence yang berdasarkan kepada hati ini, menurut Rabbi Yaacov dilakukan berasaskan kepada ajaran Kabbala, sebagaimana disebutkan bahawa “Rabbi Dr Kravitz telah melakukan penelitian dalam penyatuan antara spiritual dan psikologi. Praktik spiritual yang dilakukannya adalah meditasi, ketenangan jiwa, yoga, doa, yang dikembangkan dalam program yang komprehensif untuk meningkatkan kemahiran Spiritual Intelegent berdasarkan pada ajaran mistik kuno Kabbala dan penemuan psikologi modern”.


PENJELASAN :
Ketiga-tiga petikan yang diambil oleh Muhammad Ariffin di dalam kertas kerjanya yang sedang kita analisakan ini, sangat jelas merujuk kepada buku Kristian dan Yahudi. Beliau sama sekali TIDAK MERUJUK kepada Al Quran dan As Sunnah atau paling kurang merujuk kitab-kitab muktabar. Sedangkan di dalam membahaskan kebenaran atau kesalahan sesuatu perkara, sumber rujukan utama adalah dari Al Quran dan As Sunnah.

Mengapa buku Yahudi dan Kristian yang dijadikan sandaran sedangkan di dalam Al Quran dan Al Hadis banyak sekali membicarakan tentang suara hati. Selain surah As Syam ayat 8 – 10 yang di petik sebelum ini, masih banyak ayat-ayat lain, termasuklah juga hadis Nabi Muhammad SAW.;

Antaranya, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Bahawa di dalam jasad ada seketul daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain, dari Wabishah bin Ma’bad r.a, hadis riwayat Ahmad dan Ad Darimi yang bermaksud ; “Bahawa aku datang kepada Rasulullah SAW lalu Baginda bertanya ‘Engkau datang bertanyakan erti kebajikan?’ Aku menjawab ‘Ya’, Sabda Rasulullah SAW lagi, ‘Tanyalah hati engkau’. ‘Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan terus memfatwakan sesuatu’ ”

Di dalam buku mastika Hadis (Mukaddimah dan Jilid 1, terbitan JAKIM 2007) di muka surat 165, jelas disebutkan tentang manusia dan keistimewaan semulajadinya iaitu ;

“Manusia dilahirkan dengan keadaan berakal fikiran, mempunyai mata hati dan daya kesedaran, sebagaimana ia mempunyai gharizah (naluri), pancaindera dan perasaan”.


KESIMPULAN :
Walaupun konsep suara hati ada di dalam ajaran agama lain tetapi sangatlah berbeza dengan konsep suara hati dari ajaran Islam. Mengikut barat, suara hati tidak ada hubungan dengan Allah. Sedangkan suara hati di dalam ajaran Islam jelas bermakna dorongan kebaikan yang diciptakan Allah supaya manusia sentiasa ingin mendekat kepada Allah (FITRAH). Suara hati yang diajarkan di dalam buku dan Training ESQ adalah suara hati nurani yang dihubungkan dengan sumber yang benar iaitu Al Quran dan juga As Sunnah.



PENYELEWENGAN 5 : KENYATAAN YANG BERTENTANGAN
Jika sebelumnya Muhammad Ariffin mengutip petikan-petikan dari buku Kristian dan Kabbala untuk menolak suara hati, namun kemudiannya beliau membawa pula bukti ayat Al Quran yang membenarkan suara hati ada di dalam ajaran Islam.

Di halaman 18, beliau menulis ;

Dalam Al Quran, Allah menyatakan bahawa suara hati itu dapat mengajak kepada kebaikan tetapi juga dapat mengajak kepada kejahatan: “dan Kami tunjukkan kepadanya (manusia) itu dua jalan” (Suah Al Balad/90 : 10). “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan jalan ketakwaannya. Sungguh beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya, dan sungguh rugilah orang yang mengotori jiwanya” (Surah As Syam/91 : 7-9)”


PENJELASAN :
Walaupun tujuan petikan ini adalah untuk berhujah bahawa ada suara hati keburukan atau kefasikan, namun secara tidak langsung telah menjawab persoalan sebelumnya bahawa suara hati memang ada di dalam ajaran Islam. Muhammad Ariffin memperlihatkan sikapnya mempergunakan ayat Al Quran untuk kepentingan membenarkan pandangannya bukan menjelaskan kebenaran. Ini bukan sikap seorang ilmuan Islam yang jujur. Ayat Al Quran digunakan hanya pada waktu diperlukan membenarkan kehendaknya. Tetapi apabila ingin menyalahkan, Muhammad Ariffin menyimpan ayat ini, dan berhujah dengan rujukan dari buku Yahudi dan Kristian.

Apakah beliau lupa pada amaran Allah di dalam surah Al Baqarah, ayat 42 yang bermaksud ;

“Dan janganlah kamu mencampuradukkan kebenaran dengan kebathilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.”


KESIMPULAN :
Di dalam kertas kerjanya, Muhammad Ariffin memperlihatkan sikap menyembunyikan kebenaran dan mencampur-adukkan kebenaran dan kebatilan yang sangat jelas. Muahammad Ariffin adalah seorang yang tidak bertanggungjawab dengan kenyataannya yang saling bertentangan, di dalam kertas kerja yang sama. Sedangkan apa yang dibicarakan adalah menyentuh akidah dan keyakinan 65 ribu alumni ESQ di Malaysia dan 850 ribu alumni di seluruh dunia.



PENYELEWENGAN 6 : 12 LATIHAN DARI KABBALA DAN MEMBACA NAMA-NAMA TUHAN UNTUK MENYATU DENGAN TUHAN
Di halaman 16 dan 17, Muhammad Ariffin menyenaraikan 12 langkah latihan yang diberikan dalam Spiritual Intellegence Center yang diasaskan oleh Rabbi Jaccov Kravitz berdasarkan ajaran Kabbala. Tujuan latihan ini adalah untuk mempelajari bagaimana manusia dapat menyatu dengan Tuhan dengan mempelajari nama-nama Tuhan.

12 Langkah itu adalah ;

1. Menerima kelemahan diri “Admitted we were powerless over our addiction”.
2. Menyakini adanya kekuatan yang lebih besar dari kekuatan diri yang dapat merubah kehidupan “Came to believe that a Power greater than ourselves could restore us to sanity”.
3. Buat keputusan untuk merubah kehidupan untuk mengenal Tuhan dan memperhatikan ajarannya “made a decision to turn our will and our lives over to the care of God as we understand Him/Her”.
4. Mencari dan merasakan ketakutan atas kesalahan diri sendiri “Make a searching and fearless moral inventory of ourselves”.
5. Bertaubat kepada Tuhan, meminta maaf kepada orang lain atas kesalahan yang dilakukan, dengan melakukan pengakuan dosa “Admitted to God”, to ourselves, and to human being the exact nature of our wrong”.
6. Kesiapan diri secara total untuk meninggalkan kesalahan tersebut “Were entirely ready to have God remove all these defect of character.
7. Berdoa kepada Tuhan untuk menghilangkan sifat yang tidak baik “Humbly asked God to remove our shortcoming”.
8. Membuat senarai kawan-kawan yang pernah kita lakukan kesalahan kepadanya dan berusaha meminta maaf kepada mereka. “Made alist of all person we had harmed and become willing to make amends to them”.
9. Lakukan permintaan maaf langsung kepada kawan yang ada “made direct amend to suh people where ever possible”.
10. Tetap terus mencari kesalahan diri dan segera meminta maaf “Continued to take personal inventory and where were wrong promptly admitted it”.
11. Mencari dan meningkatkan kesedaran untuk berkomunikasi dengan Tuhan melalui meditasi dan doa, dan bacaan-bacaan ritual.
12. Merasakan kesedaran spiritual sebagai natijah atas latihan yang dilakukan dan berusaha mengajak orang lain untuk merasakan kesedaran spiritual yang sama dengan mempraktekkan prinsip-prinsip yang diajarkan “Having had a spiritual awakening as the result of these steps, we tried to carry this message to anyone with an addiction and to practice these principles in all our affairs”.

Tidak cukup berhujah suara hati dari ajaran Kristian dan Yahudi, Muhammad Ariffin terus cuba mencari persamaan ESQ dengan ajaran Kristian dan Kabbala. 12 hal di atas cuba disamakan dengan ESQ 165. Muhammad Ariffin menyampaikan bahawa 1 + 6 + 5 = 12. 12 adalah ajaran kabbala ( Muhammad Ariffin di Forum ESQ : Satu Penjelasan, Yayasan Ta’alim, 14 Julai 2010). .Atas ‘persamaan’ yang dipaksakan itu, pemikiran Dr Ary Ginanjar dihujahkan salah dan menyimpang.


PENJELASAN :

Dari tulisan Muhammad Ariffin ini, kelihatan beliau sangat obses kepada kabbala dan Kristian. Rujukan dan bacaannya banyak kepada bahan-bahan bacaan ini. Apakah mungkin kerana terlalu terdedah dengan bahan berkaitan kristian, New Worl Order, Freemason dan Kabbala, Muhammad Ariffin menjadi mudah ‘menghukum” sesuatu itu kabbala atau ajaran seumpamanya hanya kerana terdapat persamaan-persamaan tertentu yang mungkin berlaku tanpa disengajakan.

Seperti seorang yang sangat takutkan hantu, melihat kain bergerak saja sudah dianggap hantu, walhal ada kucing yang terseradung kain dan berusaha untuk keluar dari gumpalan kain itu. Perumpamaan ini mungkin melucukan tetapi tidak mustahil berlaku. Hingga pakaian hitam, bergambar dengan tangan di dada saja sudah cukup untuk Muhammad Ariffin menuduh dan menyebarkan tuduhan itu bahawa Dr Ary Ginanjar seorang Yahudi (rujuk ceramah Muhammad Ariffin di Yayasan Ta’alim, 14 julai 2010).


Bersambung…

PENJELASAN KEKELIRUAN PROF ZAKARIA STAPA

10 OGOS 2010 - Prof Zakaria Stapa (Ketua Panel Pemantau) dan Ustaz Aizam Masoud (Pegawai Penyelidik Jakim) telah mengadakan pembentangan dan penerangan berkaitan dengan ESQ di Pejabat Pejabat Mufti Negeri Selangor.

Di dalam Pembentangan itu, Prof Zakaria Stapa, telah menyampaikan hasil daripada pemantauan dan kajian yang dilakukan, Pihak Panel telah mendapati beberapa penemuan yang didapati boleh mengelirukan yang memerlukan penjelasan dan ada perkara-perkara yang boleh bertentangan dengan pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebelum menjelaskan kekeliruan dan persoalan, terlebih dahulu ramai yang keliru dengan status kedua mereka ini. Prof Zakaria Stapa adalah Ketua Panel Pemantau ESQ yang dilantik oleh Jakim, tetapi bukankah Panel Pemantau telah dibubarkan sebaik mereka menyerahkan kertas laporan yang telah dibentangkan di Majlis Muzakarah Fatwa? Apakah Prof Zakaria Stapa masih bergerak aktif pada satu badan yang telah dibubarkan dan hasilnya telah diputuskan? Begitu juga dengan Ustaz Aizam Masoud. Beliau hanyalah Pegawai Penyelidik di Jakim yang ditugaskan membuat penjelidikan berkaitan ESQ. Hasil kajian telah dibentangkan di Majlis Fatwa dengan cadangan untuk mengharamkan ESQ (bukan memperbetulkan) dan usulan itu telahpun ditolak. Kertas Laporan Panel Kajian yang ditolak ini seharusnya menjadi rahsia kerajaan tetapi, entah bagaimana boleh muncul di blog esqsesat. Dan kini, Ustaz Aizam kembali aktif bergerak ke negeri untuk membuat penerangan tentang ESQ. Atas kapasiti apa dan atas arahan siapa? Memang mengelirukan..

Berikut penjelasan dan jawapan untuk persoalan yang ditimbulkan ;


PERKARA 1 :

Mengandungi unsur Pluralisme Agama seiring dengan pandangan Danah Zohar berdasarkan ungkapan daripada trainer ESQ iaitu: Being spiritual is different from being religious.


HURAIAN PERKARA 1 :

Di dalam pernyataan di atas, ESQ dianggap mengandungi unsur Pluralisme Agama seiring dengan pandangan Danah Zohar. Tuduhan ini adalah kerana ungkapan seorang Trainer ESQ iaitu ”Being spiritual is different from being religious” (Maksudnya : Menjadi Spiritual adalah berbeza dari menjadi beragama)

Dari kata-kata trainer ESQ ini, pihak Panel pemantau telah merumuskan ia mempunyai persamaan dengan pandangan Danah Zohar yang percaya seseorang manusia boleh meningkatkan kecerdasan kerohanian (spiritual) tanpa memerlukan pegangan agama. Menurut mereka lagi ungkapan ini boleh mengelirukan dan boleh memberikan tafsiran bahawa agama tidak penting dan tidak diperlukan dalam kerohanian. Pandangan ini juga mereka samakan dengan konsep Transcendent Unity of Religion (TUR) ( Sumber : Kertas Kajian Penal Pemantau ESQ) – Sumber : Kertas Laporan Kajian oleh Panel Pemantau


PENJELASAN PERKARA 1:

ESQ tidak pernah menyokong fahaman Danah Zohar bahawa manusia boleh meningkatkan kecerdasan kerohanian (spiritual) tanpa memerlukan pegangan agama. Fahaman Danah Zohar seperti itu tidak pernah dipersetujuan, digunakan atau disampaikan di dalam training mahupun buku ESQ.

Hal berkaitan dengan Danah Zohar yang pernah dipetik dan dimuatkan di buku ESQ adalah penemuan kecerdasan manusia yang ketiga iaitu Spiritual Quotient (Kecerdasan Spiritual). Petikannya seperti berikut ;

Kecerdasan Spiritual (SQ) merupakan penemuan ilmiah baru, yang diperkenalkan oleh Danah Zohar (Harvard University) dan Ian Marshall (Oxford University) melalui kajiannya yang sangat konprehensif. Beberapa bukti ilmiah tentang penemuan kecerdasan Spiritual dipaparkan oleh mereka di dalam buku SQ, Spiritual Quotient, The Ultimate Intelligence (London, 2000).
Dua antara penemuan-penemuan itu adalah, pertama penyelidikan ahli psikologi/neurologi, Michael Persinger pada awal tahun 1990-an, dan yang lebih baru adalah pada tahun 1997 apabila seorang pakar neurologi, VS Ramachandaran dan pasukannya dari California University, menemui kewujudan saraf yang berfungsi sebagai pusat spiritual (Spiritual center). Pusat spiritual yang diciptakan Allah ini ’build in’ di bahagian hadapan otak setiap manusia. Ia dinamakan sebagai ”God Spot”.
Bukti kedua ialah penyelidikan ahli neurologi Austria, Wolf Singer (1990-an) melalui tulisannya, The Binding Problem, menunjukkan bahawa terdapat satu proses yang melibatkan saraf-saraf otak manusia. Proses ini tertumpu kepada usaha menyatukan dan memberikan makna kepada sesuatu pengalaman hidup. Jaringan saraf yang secara literal ”mengikat” pengalaman kita secara bersama untuk mendapatkan ”kehidupan yang lebih bermakna”. (Ary Ginanjar Agaustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, Edisi Malaysia, hal 30 )

Sebagaimana kita semua mengetahui, bahawa umumnya ilmuan Barat tidak mengakui kewujudan Tuhan sebagai Pencipta. Penemuan saraf-saraf yang dinamakan “God Spot” oleh VS Ramachandran seorang saintis, pakar neurology, pengarah Center for Brain and Cognition, Professor neurosains di Universiti California dan dikenal juga sebagai Marcopolo of Neurology, telah menjelaskan secara ilmiah bahawa manusia secara semulajadi mencari dan ingin bertuhan. Penemuan tersebut menjadi asas Danah Zohar untuk merumuskan SQ atau kecerdasan spiritual.

Namun penemuan “God Spot” ini sahaja tidak cukup menjawap keperluan manusia. Ini dijelaskan oleh Dr Ary Ginanjar di bukunya ;

Penemuan “God Spot” dikatakan sebagai hardware spiritual center di otak manusia. Tetapi apakah software yang akan menghidupkannya? ESQ Model yang akan saya bahaskan di dalam buku ini adalah bagi saya softwarenya. ESQ Model berfungsi sebagai Spiritual Engineering sekaligus bertindak sebagai mekanisme penggabungan tiga kecerdasan manusia iaitu IQ, EQ dan SQ dalam satugabungan yang integral dan tersendental (menyeluruh). (Ary Ginanjar Agustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, hal 32)

Kerana itu, hal yang sangat penting dan perlu difahami adalah konsep ESQ yang diperkenalkan oleh Dr Ary Ginanjar sangat berbeza dengan konsep SQ Danar Zohar. Perbezaan paling utama dan mendasar ialah SQ yang diperkenalkan oleh Danah Zohar tidak menghubungkan manusia dengan Tuhan. Manakala ESQ yang dibawa oleh Dr Ary Ginanjar , bertunjang kepada keyakinan kepada Allah SWT dan ajaran Islam.

Dr Ary menjelaskan hal ini di dalam bukunya ;

Melalui buku ini (atas izin dan kurniaan Allah SWT), saya mengasaskan satu konsep pemikiran baru iaitu ESQ Model. Model ini bagi saya merupakan satu ‘spiritual engineering’ dalam usaha membangunkan character dan keperibadian berdasarkan nilai-nilai Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Matlamat akhirnya adalah untuk menghasilkan manusia unggul melalui kecerdasan emosi dan spiritual. Mereka ini mampu menjelajahi, menghayati dan menggabungkan kekayaan hati, pemikiran dan fizikal dalam hidupnya.” ( ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, hal 47 )

Paparan penemuan sains “God Spot” (yang diambil dari buku Danah Zohar) dibuku dan training ESQ hakikat sebenarnya adalah untuk memnyerlahkan kebenaran ayat Al Quran surat Adz- Dzariyat ayat 56, yang terjemahannya berbunyi “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku”. Manusia secara semulajari (Fitrah) telah disiapkan Allah dengan keinginan untuk sentiasa mengabdi pada Allah. Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Atas penjelasan di atas, ingin ditegaskan di sini bahawa, ESQ sama sekali tidak berfahaman atau menyokong fahaman Pluralisme atau apa-apa pegangan yang menyamakan agama. Di dalam Training mahupun buku ESQ, sentiasa menekankan kepentingan Tauhid kepada Allah. Kerana itu di dalam buku dan Training ESQ sentiasa dibawa teori, kisah dan penemuan sains yang sentiasa akan menyerlahkan kebenaran Al Quran dan menambah kecintaan kepada nabi Muhammad SAW.

Contohnya di dalam bukunya Dr Ary menulis ;

Tauhid akan menyebabkan anda merasakan ketenangan, kepercayaan diri yang sangat tinggi, integriti yang sangat kuat, kebijaksanaan dan tahap motivasi yang sangat hebat. Asas Tauhid diterap dan dibangunkan dengan beriman dan berprinsip hanya kepada Allah dengan menjaga serta memuliakan sifat-sifat Allah. Laailaahaillallah. (Ary Ginanjar Agustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, Versi Malaysia, hal 150)


Kembali semula kepada ayat yang menimbulkan penafsiran yang salah iaitu ”Being Spiritual is different from being religious”. Ayat ini hanyalah sepotong dari sebuah penerangan yang panjang. Maksud sebenar yang ingin disampaikan trainer dari ayat itu secara keseluruhannya adalah ramai orang yang beragama tetapi tidak ada iman di dalam hati. Konteks ayat ini disampaikan adalah untuk menerangkan betapa sekarang ini ramai umat Islam yang hanya menjadikan agama seolah sebuah ritual yang tidak difahami dan diyakini. Lebih kepada mewarisi agama ibu bapa. Apa yang ditekankan di dalam training ESQ dan disampaikan oleh Trainer adalah keperluan kepada keyakinan terhadap Allah, iaitu Tauhid yang menjunam ke hati hingga akan membentuk masyarakat berpegang kepada agama dengan penuh keyakinan dan dari itu barulah akan lahir umat Islam yang mempunyai kekuatan.


KESIMPULAN PERKARA 1 :

Sebelum sebarang pertuduhan dilakukan, apa yang sebaiknya dilakukan adalah mencari/menyelidik apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh trainer yang dianggap telah mengeluarkan kata-kata yang meragukan iaitu ”Being Spiritual is different from being religous”. Apakah konteks ayat itu disampaikan? Apakah benar kata-kata itu diucapkan sesuai dengan maksud yang difahami oleh ahli Panel Pemantau yang mendengarnya? Kedua, apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Trainer. Ia perlu ditanya dan dicatat. Ketiga, apakah benar wujud perkaitan kata-kata itu dengan fahaman Pluralisme agama? Apakah ia andaian atau kepastian? Keempat, apakah benar ESQ mendokong fahaman Pluralisme agama? Dan yang kelima, apakah mungkin ia berlaku tanpa dimaksudkan dan kata-kata itu pertama kali diucapkan dan bukan menjadi standart di Modul ESQ. Jika ia dianggap salah dan boleh menimbulkan keraguan, apakah ia kesalahan total yang tidak mungkin boleh diperbetulkan? Pertuduhan ini adalah melibatkan Aqidah. Ia perlulah penelitian, pembuktian dan sikap hati-hati yang sangat tinggi.


PERKARA 2 : MENGANDUNGI UNSUR UNIVERSAL SUFISM

Mengandungi pengaruh Universal Sufism yang dibawa oleh Hazrat Inayat Khan, tokoh Universal Sufism.


HURAIAN PERKARA 2 :

Alasan mengaitkan ESQ dengan unsur ini hanyalah kerana sebuah buku bertajuk ”Kecerdasan Berasaskan Asmaulhusna” oleh Sulaiman Alkumayi yang ada memetik kata-kata dari Hazrat Inayat Khan. Buku ini didakwa oleh Panel Pemantau menjadi buku yang disarankan oleh pihak ESQ (Sumber : Kertas laporan Kajian Panel Pemantau).


PENJELASAN :

Di buku mahupun Training ESQ tidak ada mengandungi unsur-unsur pengaruh Universal Sufism yang dibawa oleh Hazrat Inayat Khan.

Kenyataan yang mengatakan buku itu disarankan oleh pihak ESQ, adalah finah dan tuduhan. Buku itu tidak pernahpun disarankan oleh pihak ESQ. Buku itu juga tidak pernah menjadi rujukan ataupun bacaan Dr Ary Ginanjar, sebagai penulis buku dan Pengasas ESQ.

Apa yang yang berlaku ialah buku ini pernah dijual oleh pihak lain di luar dewan training berlangsung. Namun setelah mengetahui masalah ini, buku tersebut tidak lagi dijual di luar dewan Training.


KESIMPULAN PERKARA 2 :

ESQ sama sekali tidak mendokong atau mengandungi unsur Universal Sufism yang dibawa oleh Hazrat Inayat Khan. Sebagai catatan, buku itu diterbitkan oleh penerbitan tempatan dan banyak dijual di kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Ia tidak pernah diharamkan oleh mana-mana pihak berwajib di Malaysia. Mengapa permasalahan timbul bila ia ada dijual di luar dewan yang berlangsung ESQ Training. Sedangkan ESQ tidak ada kena mengena dengan penjualan buku itu. Tuduhan mengatakan ESQ mensarankan buku itu tidak beserta bukti dan tidak mempunyai sandaran.



PERKARA 3 : UNSUR AL-FAYD

Mengandungi unsur Al-Fayd berdasarkan petikan dalam buku Untaian Mutiara Dalam 165 Hari oleh Ary Ginanjar Agustian.


HURAIAN PERKARA 3 :

Dakwaan ini merujuk kata-kata Dr Ary Ginanjar di dalam bukunya Untaian Mutiara Dalam 165 Hari. Penulis menyebut ;

Jadilah cahaya yang sentiasa menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari Cahaya di atas Cahaya.

Menurut Panel Pemantau, ungkapan ”engkau tercipta dari Cahaya di atas Cahaya” menggambarkan bahawa manusia tercipta secara al-fayd (emanation) (Sumber : Kertas Laporan Kajian Panel Pemantau).


PENJELASAN :

Buku Untaian Mutiara Dalam 165 hari adalah sebuah buku yang memuatkan kata-kata puitis bertujuan untuk memotivasikan pembaca. Untuk memahami kata-kata ”Engkau tercipta dari Cahaya di atas cahaya” haruslah dibaca secara keseluruhan ayat itu iaitu ”Jadilah cahaya yang sentiasa menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari cahaya di atas cahaya”.

Menurut Penulis (Dr Ary Ginanjar Agustian), beliau cuba memotivasi (mendorong) pembaca agar menjadi seperti cahaya, (iaitu seperti matahari, bulan, lampu, lilin dll) yang apabila ia memberikan cahayanya (kebaikan) tidak sesekali memilih orang yang ingin diberikan kebaikannya. Kerana hakikatnya manusia itu diciptakan dari cahaya di atas cahaya (kebaikan di atas kebaikan ). Ini untuk memperlihatkan betapa sangat sempurna kejadian manusia yang diciptakan Allah, ia digambarkan dengan cahaya di atas cahaya atau kebaikan di atas kebaikan. Kerana itu, sebagai manusia, sangat perlu menebarkan kebaikan tanpa memilih-milih (pilih kasih).


KESIMPULAN :

Ungkapan di atas tidak menggambarkan bahawa manusia tercipta secara al-fayd (emanation) kerana ia adalah rangkaian kata-kata puitis yang tidak diambil pembaca secara literal. Ia bukan konsep yang membahaskan asal kejadian manusia tetapi bertujuan untuk memotivasi atau mendorong pembaca membuat kebaikan.

Untuk menyimpulkan ESQ mengandungi unsur al-fayd, tidak cukup dengan hanya sepotong ayat di dalam sebuah buku puitis seperti ”Untaian Mutiara” itu. Panel Pemantau tidak seharusnya membuat tafsiran mereka tanpa mendengar dan mencatat penjelasan penulis terlebih dahulu. Kerana penulisnya masih hidup dan boleh dihubungi.







PERKARA 4 : SUARA HATI

Penggunaan istilah Suara hati yang boleh membawa kepada konsep hulul.


HURAIAN PERKARA 4 :

Hal ini merujuk kepada Kertas Laporan Kajian Panel Pemantau, terdapat 5 hal yang meragukan mereka dan pelbagai sumber;

1. Kenyataan trainer Pak Legisan Sugimin : Suara hati adalah sama pada setiap penganut agama.
2. Penulis mengungkapkan “Bayangkan, betapa Nabi Muhammad SAW telah bersikap adil dan bijaksana. Inilah yang dimaksud satu kesatuan tauhid dan prinsip esa. Sebuah hasil dari “Thawaf Suara Hati”. (Ary Ginanjar, ESQ Teens 2 Mental Building with 6 Principles, hal. 11)
3. Penulis mengungkapkan ‘suara hati Tuhan’ (Ary Ginanjar, ESQ for Teens 1 Why You Need ESQ Zero Mind Process With 1 Value, hal. 71)
4. Penggunaan ‘suara hati ilahiah’ (Ary Ginanjar, Untaian
Mutiara dalam 165 hari, hal. 17)
5. Penulis mengungkapkan : Ikuti suara hati Sang Mahabesar itu.” (Ary Ginanjar, ESQ For Teens 2 Mental Building with 6 Principles, hal. 38)

Dari 5 hal di atas, Panel Pemantau merumuskan bahawa penggunaan istilah ‘Suara Hati’ sebegini boleh menimbulkan salah faham bahawa semua penganut agama-agama adalah sama sahaja dan ungkapan-ungkapan “Suara Hati Tuhan”, “suara hati ilahiah” dan suara hati Sang Mahabesar” menggambarkan Tuhan bertempat di hati manusia. Hal ini menurut mereka membawa kepada konsep Hulul.


PENJELASAN PERKARA 4.1:

Kenyataan trainer Pak Legisan Sugimin ”Suara hati adalah sama pada setiap penganut agama”

Hal ini disebutkan di ESQ sebagai anggukan universal, iaitu dorongan suara hati kepada kebaikan yang pada asasnya, ada pada semua manusia tidak mengira latar belakang, bangsa dan agama. Ia bukan menyamakan semua agama tetapi fitrah asal yang dijadikan Allah kepada manusia itu sama. Di dalam buku ESQ, beberapa bab menerangkan hal ini begitu juga di training ESQ, beberapa modul menjelaskannya.

Contoh anggukan universal yang mudah difahami adalah ketika manusia menonton tayangan filem yang memperlihatkan nilai kasih sayang atau erti kesetiaan. Ketika itu suara hati manusia akan menjawab dan mengakui, “ya, ini adalah nilai sebenar”. Kemudian jiwa manusia mengangguk, “benar, ini adalah sifat-Mu”. Ketika manusia mengiyakan kebenaran suara hati, maka manusia hakikatnya sedang mengingati sifat Ilahi. Inilah yang disebut anggukan universal. Namun dari mana asalnya?

Ia tidak mampu dan gagal dijelaskan oleh barat. Di ESQ persoalan ini dijawab dengan ayat Al Quran Surat Al A’raf : 172 yang bermaksud ; “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun)dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan FirmanNya) : ‘Bukankah Aku Tuhanmu? Mereka semua menjawab : “Benar, (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: ‘Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. Inilah perjanjian manusia dengan Allah sewaktu di alam ruh lagi.

Ini juga menjelaskan Sabda Rasulullah SAW di dalam Hadisnya yang bermaksud “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Namun suara hati atau Fitrah yang pada asalnya sama pada semua manusia ini tidak semuanya muncul. Ia seringnya tertutup oleh pelbagai belenggu (keburukan) dan belenggu (keburukan) inilah yang menyebabkan manusia akhirnya berbeza dan terpisah. Hal ini dijelaskan dengan terperinci di buku juga di Modul Training.



PENJELASAN PERKARA 4.2 :

Penulis (Ary Ginanjar Agustian) mengungkapkan “Bayangkan, betapa Nabi Muhammad SAW telah bersikap adil dan bijaksana. Inilah yang dimaksud satu kesatuan tauhid dan prinsip esa. Sebuah hasil dari “Thawaf Suara Hati”.

”Thawaf suara hati” yang dimaksudkan oleh penulis ialah pemikiran yang melingkar atau komprehensif. Ketika kita berfikir dan menggunakan dorongan dari suara hati murni, kita tidak boleh hanya mendengar satu suara hati atau satu dorongan sahaja. Contoh manusia perlu berlaku jujur, tetapi tidak hanya jujur, dalam masa yang sama perlu prihatin, adil. Manusia perlu prihatin, tetapi dalam masa yang sama perlu adil dan jujur. Ini yang dinamakan circular thinking atau berangkaian yang akan melahirkan keputusan atau tindakan yang bersepadu dan bijaksana.

Namun dorongan dari suara hati ini perlu diikat dengan Al Quran sebagai pedoman utama. Di dalam buku ESQ , Dr Ary menjelaskan hal ini ;

Bayangkan jika anda perlu membuat suatu keputusan penting tetapi keliru dengan pelbagai dorongan suara hati. Kadangkala anda menjadi bingung dan tidak mampu lagi memutuskan apa yang perlu didahulukan dan apa yang paling tepat. Contohnya anda diminta membuat keputusan untuk menyelesaikan suatu masalah. Anda diminta untuk bersikap penyayang dan pengasih, jujur, adil, tegas dan bijaksana. Beberapa pilihan diberikan kepada anda dan anda perlu membuat keputusan dengan segera. Kes yang anda hadapi adalah anda menangkap seorang pencuri yang terpaksa mencuri kerana ingin membeli ubat untuk anaknya yang sedang sakit tenat. Wang yang dicuri itu adalah milik seorang perempuan tua yang sudah dua hari tidak makan. Pencuri itu pula merupakan seorang sepupu anda. Masalah bertambah rumit kerana anda sedang ditonton oleh ramai orang yang ingin mengetahui keputusan anda. Sementara itu, bapa saudara anda (ayah pencuri itu) menelefon anda dan meminta anda berusaha menyelamatkan anaknya. Saya tidak bermaksud meminta anda menjawab pertanyaan di atas, tetapi saya ingin menjelaskan bahawa Al Quran akan memberikan bimbingan untuk mengatasi masalah-masalah yang memerlukan kebijaksanaan tanpa membebani manusia.

“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Walaupun orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin. Kerana Allah lebih tahu kemaslahatannya. Oleh itu janganlah kamu turuti nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” Terjemahan Surah An Nisaa’ 4 : 135. ( Ary Ginanjar Agustian, ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, hal 222)

Petikan di atas menjelaskan bahawa Al Quran adalah pedoman atau rujukan utama yang akan memastikan manusia tidak tersalah dalam menentukan keutamaan dorongan suara hati. Inilah maksud dari ayat “Bayangkan, betapa Nabi Muhammad SAW telah bersikap adil dan bijaksana. Inilah yang dimaksud satu kesatuan tauhid dan prinsip esa” berprinsip hanya pada Allah.”


PENJELASAN PERKARA 4.3 :

Menurut Panel Pemantau, Ungkapan-ungkapan “Suara Hati Tuhan”, “suara hati ilahiah” dan suara hati Sang Mahabesar” boleh menggambarkan Tuhan bertempat di hati manusia. Hal ini menurut mereka membawa kepada konsep Hulul.

Makna ‘suara hati Tuhan’, ‘suara hati illahi’ dan ‘suara hati Sang Mahabesar itu” adalah bermaksud suara hati dari Tuhan, suara hati dari Illahi dan suara hati dari Sang Maha Besar itu. Suara hati adalah ciptaan dan anugerah Allah SWT kepada manusia. Ia tidak sama sekali membawa maksud Tuhan di dalam hati dan tidak menggambarkan Tuhan bertempat di hati manusia.

Untuk memahami lebih lanjut, perlulah di lihat kepada keseluruhan ayat. Contohnya untuk point no 5. Penulis mengungkapkan : Ikuti suara hati Sang Mahabesar itu.” (Ary Ginanjar, ESQ For Teens 2 Mental Building with 6 Principles, hal. 38), ayat yang lengkapnya berbunyi begini ;

”Bercita-citalah setinggi-tingginya, ingatlah Allah yang Maha Besar, yang telah menciptakan hati kamu dengan sedemikian sempurnanya. Ia gak ingin kamu merangkak-rangkak, Ia ingin energi dan kreativitas kamu mengalir mencari jalan untuk mencapai cita-citamu. Dorong terus energi itu, doktrin diri kamu dengan ucapan ”Allah Akbar” setiap hari, sehingga kamu sungguh terobsesi untuk berhasil. Ikuti suara hati Sang Maha Besar itu.”

Suara hati Tuhan, suara hati Ilahi dan suara hati Sang Maha Besar adalah bermakna suara hati kebaikan yang ada pada manusia itu hakikatnya adalah sesuatu yang diberikan oleh Allah, bukan kerana linkungan atau terwujud sendiri. Kerana itu kita sering menyebut ”yang baik itu dari Allah, yang salah dan silap itu dari kelemahan diri saya sendiri (manusia)”

Namun untuk tidak membuat kontroversi dan mengelirukan sesiapa tanpa disedari, istilah suara hati Tuhan di dalam buku dan Training ESQ kini akan diperbaiki. Suapa lebih jelas ia diubah menjadi Suara Hati Nurani berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.


KESIMPULAN PERKARA 4 :

ESQ tidak mengajarkan konsep Hulul, atau sesuatu yang boleh menggambarkan Tuhan di hati manusia. Apa yang diajarkan di ESQ adalah suara hati dibekalkan oleh Allah kepada semua manusia, sebagai dorongan dari Allah untuk manusia cenderung kepada kebaikan. ESQ sangat terbuka kepada pandangan dan teguran dan sentiasa melakukan perubahan demi menambahbaikkan Training ESQ dan mudahkan masyarakat atau peserta memahami apa yang disampaikan.








PERKARA 5 : KARTASIS

Memuatkan proses katasis yang menyamai amalan confession dalam ajaran Kristian.


HURAIAN :

Di dalam Kertas Laporan Panel Pemantau, ’Kartasis’ dibayangkan seperti berikut ;

a. Proses katarsis melalui pelukan antara dua peserta dengan menepuk belakang serta pertanyaan bertalu-talu “siapa kamu? Dan “apa yang kamu mahu?” seolah-olah memaksa peserta menceritakan dosa dan kesalahannya kepada orang lain/berkongsi dengan orang lain.

b. Kenyataan trainer dalam slot katarsis:” …..dijamin dapat hancurkan berhala / taghut dalam diri manusia”.

c. Kenyataan trainer dalam slot selepas ucap syahadah : “ Menjulang ke langit menjangkau Allah, ke Raudhatul Jannah, berjumpa dengan Allah”.

d. Kenyataan trainer selepas slot katarsis dan syahadah: “…diucapkan selamat datang ke Baitul ‘ Atiq: kemerdekaan; dinaungi oleh cahaya; tiada lagi ketakutan dunia; kemerdekaan dunia; kosong berhala; sambutlah kemenangan kerana Allah telah menaungi hatimu; selamat datang ke dunia baru; kini hati kamu dipenuhi kecintaan kepada Allah…’

Dari Point di atas katarsis di simpulkan sebagai sessi penyucian jiwa dan dan trainer ESQ dikatakan seolah menjamin peserta bahawa jiwa mereka sudah suci bersih. Hal ini menurut Panel Pemantau, adalah satu proses penyucian diri yang singkat yang tidak pernah dan tidak mungkin berlaku dalam tradisi kerohanian Islam. Katarsis ini juga dianggap menyamai sesi pengakuan (confession) dalam ajaran Kristian kerana menurut Panel Pemantau, Islam menganjurkan kita mengadu kepada Allah dan bukan bercerita dosa dan kesalahan kita kepada orang lain.


PENJELASAN :

Pertama yang perlu difahami oleh mereka yang ingin memahami persoalan ini adalah, apakah dia yang disebut ’KARTASIS’ ini?

Kartasis adalah salah satu sessi di bawah Modul Well Organize Principle iaitu Modul yang akan menerangkan tentang Rukun Iman yang ke 6 iaitu Percaya kepada takdir. Ia dilaksanakan di pagi hari ke tiga training setelah peserta melalui 2 hari training.

Di training hari pertama, peserta di bawa dengan pelbagai kaedah dan pengalaman untuk mendapatkan keyakinan bahawa Allah itu Ada, Al Quran itu benar dan Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah. Di hari ke dua training, peserta akan di bawa menghayati 5 prinsip rukun Iman, iaitu melakukan segala hal hanya kerana Allah, bersikap jujur seperti para malaikat, membina kepimpinan mencontohi Rasulullah SAW dan menjadikan Al Quran sebagai pedoman hidup. Hikmah dari Rukun Iman ke enam, di sampaikan di pagi hari ke tiga dengan salah satu metodenya adalah apa yang dinamakan ’Kartasisi’

PENJELASAN 5. a :

Proses katarsis melalui pelukan antara dua peserta dengan menepuk belakang serta pertanyaan bertalu-talu “siapa kamu? Dan “apa yang kamu mahu?” dikatakan peserta seolah-olah dipaksa menceritakan dosa dan kesalahannya kepada orang lain/berkongsi dengan orang lain.

Kartasis bukan sessi penyucian jiwa atau pengakuan dosa seperti yang di dakwa. Tetapi adalah proses bagaimana peserta diminta menyedari dan menyebutkan secara lisan bahawa hidup mereka bukan untuk wang, harta, keluarga, pasangan, jawatan dan sebagainya tetapi hidup mereka adalah untuk Allah. Peserta juga dibawa menyedari bahawa mereka bukan hamba sesama makhluk atau hamba material tetapi mereka adalah hamba Allah.

Kaedahnya adalah dengan bertanya berulang-ulang kali hingga yang menjawab bukan lagi logik di akal tetapi apa sebenarnya yang tersimpan di lubuk hati. Selama ini ramai yang menyebut dia hamba Allah, tetapi di hati tidak merasakan dia hamba Allah. Di sessi ini peserta dibawa merasakan benar-benar pengakuan dia hamba Allah. Di waktu sessi ini, ada kalanya ada peserta yang tidak dapat mengawal emosi hingga menceritakan kesilapan masa lalunya kerana terlalu menyesal. Tetapi hal ini bukanlah permintaan atau arahan trainer. Mereka lakukan itu bukan kerana membuat pengakuan tetapi lebih kepada melepaskan keterbukuan hati yang selama ini tersimpan.


PENJELASAN 5.b :

Menurut Panel Pemantau, ada kenyataan trainer dalam slot katarsis ”…dijamin dapat hancurkan berhala / taghut dalam diri manusia”.

Trainer ESQ tidak pernah menjamin apa-apa kerana yang memberi hidayah adalah Allah, bukan trainer. Hal ini sering di sampaikan dan diulang banyak kali sepanjang training berlangsung, supaya semua peserta sentiasa berdoa dan memohon hidayah dari Allah. Apa yang disampaikan adalah ini proses atau usaha untuk menghancurkan berhala/taghut di dalam diri manusia. Yang dimaksudkan berhala adalah prinsip-prinsip hidup selain kepada Allah.


PENJELASAN 5. c :

Kenyataan trainer dalam slot selepas ucap syahadah : “Menjulang ke langit menjangkau Allah, ke Raudhatul Jannah, berjumpa dengan Allah”.

Selepas peserta merasa insaf dan bersalah dengan segala kelalaian mereka yang tidak benar-benar hidup untuk Allah, mereka bersama-sama diajak membaharui syahadah supaya menghayati benar-benar apakah makna syahadah itu. Syahadah adalah perjanjian seorang manusia dengan penciptanya. Selepas menghayati dan merasakan erti syahadah, trainer akan membacakan maksud dari ayat Surah Ibrahim ayat 24 – 26 ;

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapatkan pelajaran). Dan bandingkan kalimah yang jahat-buruk (*) samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah terbongkas akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.”

Di saat ini peserta diyakinkan dengan pengampunan dan rahmat Allah tetap ada untuk mereka yang ingin memperbaiki dirinya.


PENJELASAN 5. d :

Panel Pemantau mendakwa , selepas slot katarsis dan syahadah, trainer mengucapkan “…diucapkan selamat datang ke Baitul ‘ Atiq: kemerdekaan; dinaungi oleh cahaya; tiada lagi ketakutan dunia; kemerdekaan dunia; kosong berhala; sambutlah kemenangan kerana Allah telah menaungi hatimu; selamat datang ke dunia baru; kini hati kamu dipenuhi kecintaan kepada Allah…’

Ia bukan sessi penyucian jiwa dan tidak ada apa-apa jaminan pengampunan dosa diberikan oleh trainer. Tetapi setelah peserta menyedari hakikat hidup mereka selama ini ’mentuhan’kan material dan makhluk, barulah keinsafan itu tiba untuk hidup benar-benar mengabdi kepda Allah dalam keadaan apa sekalipun. Kebiasaannya peserta saat ini dalam keadaan emosi yang sangat tersentuh, menangis dan menyesal dengan segala kesalahannya selama ini. Di saat itu Trainer akan memberikan harapan bahawa pengampunan Allah sentiasa ada untuk yang bertaubat. Allah menerima orang yang berdosa untuk kembali kepadaNya (bukan trainer yg mengampunkan dosa).


KESIMPULAN KESELURUHAN :

Sepanjang ESQ Training dijalankan, tidak ada sesi penyucian atau pengakuan dosa seperti yang di dakwa menyamai ajaran kristian. Secara keseluruhan, bukan sahaja peserta diminta mengingati dosa dan memohon pengampunan kepada Allah, malah trainer sendiri perlu sentiasa merasa berdosa dan memohon ampunan kepada Allah.

Bukan sahaja Kartasis, malam keseluruhan 3 hari Training ini hanyalah satu usaha membawa kesedaran kepada peserta kepada beriman sesungguh hati kepada 6 Rukun iman dan melaksanakan sungguh-sungguh 5 Rukun Islam. Ia bukan bermakna sesiapa yang telah melalui proses ini telah bersih jiwanya. Ini hanyalah salah satu kaedah atau usaha untuk memberi kesadaran kepada peserta. Selepas mereka sedar, menjadi tanggungjawab mereka untuk terus melakukan proses pembersihan hati dan mengikut sepenuhnya 6 Rukun Iman, 5 Rukun Islam dan Ihsan.

Di dalam kajian ini terdapat banyak perkara yang hanya disyaki, berkemungkinan, seolah-olah yang tidak tepat dengan disiplin ilmu Islam dalam menilai sesuatu perkara hingga diputuskan salah atau menyeleweng. Sesuatu yang meragukan harus dikaji terus hingga jelas dan yakin akan kebenaran atau kesalahan sesuatu perkara itu.



PERKARA 6 : MENDAHULUKAN IHSAN DARI IMAN DAN ISLAM

Mendahulukan Ihsan di samping Islam dan Iman sebagai prinsip asas dalam aktiviti kursus ESQ Way 165.


HURAIAN :

Di dalam Laporan Panel Pemantau, ada satu hal yang menjadi persoalan mereka iaitu apakah Training ESQ program agama atau bukan? Menurut Panel Pemantau, setelah pemerhatian dan kajian dilakukan Panel Pemantau meyakini Training ESQ adalah jelas program agama, walaupun ESQ mendakwa ia adalah training motivasi dalam membina modal insan dan menurut Panel Pemantau, apabila Training ESQ menggunakan pendekatan Islam, maka program ini mestilah terikat kepada landasan-landasan agama Islam yang betul dan sesuai dengan prinsip Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Menurut Panel, berdasarkan Hadith Jibril a.s. Rasullullah SAW mengajarkan kita supaya mengikut tertib yang betul dalam mengamalkan agama iaitu seseorang itu perlu bermula dari Islam, Iman dan barulah Ihsan, dan bukan sebaliknya. Tetapi pendekatan Training ESQ ini dikatakan menyalahi dan songsang dari hadith tersebut apabila meletakkan Ihsan sebagai matlamat pertama. Seseorang tidak mungkin mencapai maqam Ihsan selama mana beliau tidak mengukuhkan prinsip-prinsip Islam dan Iman terlebih dahulu.

Dari hal di atas, terdapat 2 hal yang perlukan penjelasan.

A. Apakah Training ESQ program agama.
B. Mengapa ESQ tidak mengikut turunan Islam, Iman dan Ihsan seperti di dalam Hadis Jibril.


PENJELASAN PERKARA 6. A :

Hal ini merupakan salah faham terhadap Training ESQ. Training ESQ adalah Training untuk Pembangunan Modal Insan atau Human Resource Development (HRD) berdasarkan Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan. Ia dimaksudkan bukan program agama kerana ia bukan mengajarkan hal2 agama secara khusus seperti mengajarkan ilmu solat, aturan akad nikah, hukum jual-beli dan sebagainya. Tetapi Training ESQ adalah khas untuk Pembangunan Modal Insan (Jati diri) dengan menggunakan pendekatan melalui hikmah dari Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan. Jika tetap mahu mengketogarikan training ESQ ini sebagai program agama, ia adalah di bawah uslub dakwah. Bukan selainnya. Kerana apa yang disampaikan di dalam Training ESQ adalah seruan kepada kebaikan dan kebenaran. Bukan mengajar ilmu feqah, tauhid atau tasawuf.

Jika ESQ sebuah Training Pembangunan Modal insan, mengapa menggunakan Al Quran dan As Sunnah dan banyak unsur-unsur agama di dalamnya? Ini adalah kerana Pengasasnya menyakini tidak ada satu kaedah yang lebih tepat dan benar melainkan sesuatu yang diturunkan oleh Allah melalui utusannya iaitu Rasulullah SAW.

Selama ini kebanyakan dari umat Islam hanya melihat Rukun Islam, Iman dan Ihsan adalah sebagai rukun yang penting untuk keselamatan di akhirat. Para pelajar sekolah rendah diajar dengan rukun-rukun ini tetapi lebih kepada menghafal sahaja tanpa mengetahui bagaimana untuk mengaplikasikannya di dalam kehidupan. Bagaimana menggunakannya di dalam kehidupan berumahtangga untuk mendapatkan keluarga yang bahagia. Bagaimana menggunakannya untuk membentuk masyarakat yang maju dan diredhai Allah. Apatah lagi dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan kemajuan sebuah syarikat, perniagaan dan pentadbiran sebuah organisasi yang selama ini dilihat sebagai ’hal-hal dunia’

Kerana itu, akhirnya apa yang berlaku adalah, rujukan hal-hal yang berkaitan Pembangunan Modal Insan dan Pengurusan syarikat dan pentadbiran organisasi, dan yang seumpama dengannya, panduannya di ambil dari barat yang tidak ada sedikitpun mengarah kepada keimanan terhadap Allah dan hari akhirat. Dr Ary Ginanjar menyedari hal ini dan merasa bertanggungjawab melakukan sesuatu. Dari pembacaan dan penelitiannya terhadap buku-buku motivasi dari barat, Dr Ary Ginanjar akhirnya meyakini ada benang merah yang menghubungkan semua pemikiran ini. Dan semua pemikiran barat ini terpisah-pisah dan tidak sempurna kerana tidak mengembalikan atau berasas kepada Tauhid iaitu keimanan kepada Allah. Akhirnya, beliau menulis atas kapasitinya sebagai seorang peniaga (bisnessman) yang terjun langsung di dunia pengurusan dan perniagaan sehingga beliau sangat tahu apa masalah dan keperluan dan bahasa ahli korporat dan pentadbir. Sehingga beliau menggunakan semua bahasa itu untuk menyampaikan kepada mereka bahawa tidak ada kaedah, penyelesaian, strategi yang lebih sempurna dalam menguruskan manusia, melainkan sesuatu yang datang dari Allah. Melalui bimbingan Kiyai Habib Adnan (Gurunya, Pengerusi Majlis Ulama di Bali) Dr Ary menulis buku ESQ, Rahsia Sukses Membangunkan Kecerdasan Emosional dan Spiritual, yang kemudiannya menjadi modul Training Pembangunan Modal Insan. Inti dari buku dan modul ESQ adalah bagaimana hikmah dari Rukun Islam, Iman dan Ihsan dapat membangunkan potensi diri manusia. Kerana itu Dr Ary tidak mendakwa Training ini adalah program agama walaupun hakikatnya, keseluruhan isi training adalah dari Al Quran dan As Sunnah.

Sebab lain mengapa ia tidak di umumkan sebagai program agama, adalah kerana targetnya adalah untuk mendekatkan masyarakat yang selama ini jauh dari agama kembali kepada Islam. Masyarakat yang selama ini yakin dengan barat, tidak mahu kepada agama, disedarkan bahawa Islam mempunyai penyelesaian sempurna yang mereka perlukan untuk kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Inilah mengapa, Training ESQ tidak disebutkan sebagai sebuah program agama.


PENJELASAN PERKARA 5. B :

Persoalan kedua yang ditimbulkan adalah, jika ESQ sebuah training yang menggunakan pendekatan Islam, maka program ini mestilah terikat kepada landasan-landasan agama Islam iaitu merujuk kepada turutan hadis Jibril iaitu bermula dengan Islam, Iman dan barulah Ihsan, bukan sebaliknya. ESQ dianggap songsang dari hadis tersebut apabila meletakkan Ihsan sebagai matlamat pertama. Menurut Panel Pemantau, sesaorang tidak mungkin mencapai maqam ihsan selama mana beliau tidak mengukuhkan prinsip-prinsip Islam dan Iman terlebih dahulu.

ESQWay165 adalah sebuah jenama yang sesuai dengan methodology yang digunakan. Ia tiada bermaksud memberi pendekatan secara songsang. Di dalam ESQ Training, 165 adalah pendekatan metodologi yang serentak dan bersepadu. Hadis Jibril yang dibacakan di dalam Training, tidak pernah diubah. Hadis tetap dibaca secara tertib.

Pendapat yang mengatakan bahawa hadis ini mengajar kita supaya bertertib dalam mengamalkan Islam kemudian iman dan seterusnya ihsan perlu diteliti semula, kerana dari sudut logiknya tertib bermaksud melakukan sesuatu perkara mengikut urutan dan tidak boleh melakukan perkara yang lain kecuali setelah selesai perkara sebelumnya. Dalam konteks ini, adakah kita perlu selesai mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji dahulu baru kita beriman dengan Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan qada’ dan qadar?!

Selain itu, dalam pelaksanaan modul ini seperti yang diakui sendiri oleh Panel Pemantau, 1 (ehsan) merupakan matlamat yang perlu dicapai melalui proses penghayatan terhadap dua tahap yang terkandung dalam rajah modul ini sendiri iaitu 5 (Islam) dan 6 (Iman), dan bukannya dapatkan Ihsan dahulu baru laksanakan Islam dan Iman. Kerana itu di ESQ Training, peserta diceritakan dan diberi faham dulu akan erti dan keindahan ihsan (1) supaya mereka mencintai dan mahu mencapainya, barulah diterangkan bagaimana mendapatkannya, haruslah beriman dengan 6 Rukun Iman dan mengamalkan 5 rukun Islam. Hal ini seperti yang diajarkan Allah di dalam Al Quran. Allah menceritakan kieindahan syurga dan kehidupan akhirat untuk orang bertaqwa, bagaimana mendapatkannya? Haruslah beriman dan berusaha di dunia ini. Tidak bermakna hal akhirat tidak diceritakan dahulu kerana manusia masih banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan di dunia ini.

Dalam menyusun program ESQ Training, cara pendekatan adalah dengan memulakan Ihsan bagi menimbulkan keyakinan dan kebesaran Allah SWT dan setelah menjelaskan Ihsan, barulah seterusnya penjelasan kepada Iman dan Islam yang mana ini sekadar satu bentuk penyusunan jadual yang tidak bercanggah dengan kehendak hadith Jibril a.s.

Sebagai contoh dalam kita mempelajari Al-Quran, kita memulakan dulu dengan juzu’ yang ke-30, tidak mengikut susunan Al-Quran itu sendiri, iaitu bermula dari Surah Al-Baqarah sehingga Surah An-Nas. Apakah ia salah?

Di dalam training, segala hadis dan ayat Al-Quran ditulis dan dibaca maksudnya seadanya sepertimana hadith Jibril. Hadis Jibril a.s yang selalu disampaikan di dalam training ESQ adalah seperti berikut :

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: “Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.” Lelaki tersebut berkata: “Benarlah engkau.” Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: “Terangkan kepadaku tentang lman.” Baginda bersabda: “(lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.” Lelaki itu berkata: “Benarlah engkau. “
Dia berkata lagi: “Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. “
Lelaki itu bertanya lagi: “Terangkan kepadaku tentang Qiamat.” Baginda bersabda: “Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.” Lelaki itu berkata: “Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).” Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?” Aku berkata: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.”

Sumber: Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no: 4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346)


KESIMPULAN :

ESQ tidak mengubah Hadis. Setiap kali Training, Hadis Jibril dibaca sesuai seperti yang diriwayatkan.

Hadis Jibril yang menerangkan tentang Islam, Iman dan Ihsan itu adalah sebuah penerangan akan makna ke tiga-tiganya, bukan pada tertib yang mana perlu di dahulukan. Kerana pelaksanaan ketiga-tiganya haruslah dilakukan secara serentak dan bersepadu.

Di dalam Training dan buku ESQ, Dr Ary memilih untuk menerangkan tentang Ihsan dahulu kerana keyakinan adalah pokok ibadah sesaorang. Apabila iman telah masuk, barulah konsep ibadah yang lima mudah diterima dan dilaksanakan. Ini adalah sebuah metodologi training, bukan menyonsangkan hadis.


PERKARA 6 : GOD SPOT DAN ZERO MIND PROSESS

Menggunakan teori God Spot dan Zero Mind Process yang bersumber daripada barat dan tiada dalam tradisi ajaran Islam. Teori-teori ini tidak dinyatakan secara jelas dan akan menimbulkan kacau bilau dalam pemikiran umat Islam. Teori Zero Mind Process sekiranya hanya melibatkan pengosongan jiwa dikhuatiri akan menyamai konsep Nirvana dalam ajaran Buddha.


HURAIAN 6.1 : God Spot

Menurut Panel Pemantau, God Spot tiada dalam tradisi ajaran Islam dan menggunakan istilah ‘God-Spot’ ini hanya akan menimbulkan kacau bilau dalam pemikiran umat Islam. Panel Pemantau juga menimbulkan persoalan, andaikata kesedaran bertuhan itu kerana saraf berkenaan, adakah jika saraf itu tercedera, maka manusia akan hilang perasaan ingin bertuhan tersebut? – Sumber Kertas Laporan kajian Panel Pemantau



PENJELASAN PERKARA 6.1 :

Sebagaimana kita semua mengetahui, bahawa umumnya ilmuan Barat tidak mengakui kewujudan Tuhan sebagai Pencipta. Penemuan saraf-saraf di otak yang dinamakan “God Spot” oleh saintis bernama VS Ramachandran, pakar neurology, pengarah Center for Brain and Cognition, Professor neurosains di Universiti California dan dikenal juga sebagai Marcopolo of Neurology, telah menjelaskan secara ilmiah bahawa manusia secara semulajadi mencari dan ingin bertuhan.

Paparan penemuan sains God Spot dibuku dan training ESQ adalah untuk membuktikan kebenaran ayat Al Quran surat Adz- Dzariyat ayat 56, yang terjemahannya berbunyi “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku.”. Manusia secara semulajari (Fitrah) telah disiapkan Allah dengan keinginan untuk sentiasa mengabdi pada Allah. Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Persoalan dari Panel Pemantau, andaikata kesedaran bertuhan itu kerana saraf berkenaan, adakah jika saraf itu tercedera, maka manusia akan hilang perasaan ingin bertuhan tersebut?

Kesedaran bertuhan atau Fitrah itu adalah kehendak Allah ke atas manusia ciptaanNya. Itu wajib diyakini kerana ia telah dijelaskan di dalam Al Quran dan hadis Rasulullah. Allah melaksanakan kehendakNya tanpa mengabaikan prosesnya. Dan kebiasaannya proses itulah yang menambah keimanan kita sebagai manusia. Seperti permintaan Nabi Ibrahim ingin melihat bagaimana Allah mengidupkan orang yang mati. Allah bertanya, apakah kamu tidak yakin, Nabi Ibrahim menjawab, “bukan aku tidak yakin tetapi aku mahu MEMANTAPKAN hatiku”. Nabi Ibrahim ingin melihat proses. Dan Allah perlihatkan bagaimana Dia menghidupkan 4 ekor burung yang telah dicincang. Kisah ini dapat kita hayati di dalam Al Quran, Surah Al Baqarah ayat 260.

Begitu juga dengan penemuan “God Spot”. Kita meyakini Fitrah tetapi dengan penemuan “God Spot” kita melihat proses yang menambah keyakinan tentang Fitrah yang disebutkan oleh Rasulullah itu. Penemuan-penemuan sains hanya ‘alat’ membantu meyakinkan masyarakat yang telah jauh dari agama sekarang ini. Untuk saat ini, “God Spot” adalah penemuan sains yang dapat menjelaskan sedikit dari hal berkaitan Fitrah. Tetapi tidak kita nafikan penemuan sains itu berkembang. Mungkin bukan sekadar saraf ini, mungkin ada lagi saraf-saraf lain yang berfungsi membawa manusia memikirkan hal-hal berkaitan ketuhanan. Namun seandainya jika hanya ada hanya saraf ini (God Spot) dan ia rosak, secara logiknya akan menyebabkan manusia hilang kemampuan untuk menjadi manusia normal. Mungkin gila atau sakit otak. Dan apakah orang seperti ini diwajibkan beriman seperti manusia normal? Mari kita fikirkan bersama.



HURAIAN 6.2 : ZERO MIND PROSESS


Menurut Panel Pemantau, di dalam ESQ Zero Mind Process (ZMP) adalah proses yang mesti dilalui seseorang yang ingin mencapai kemurnian suara hati. Menurut Panel Pemantau juga Zero Mind Process ini jika hanya melibatkan pengosongan jiwa dari sifat-sifat buruk tanpa melalui zikir dan amalan kerohanian lain, maka dikhuatiri akan menyamai konsep Nirvana dalam ajaran Buddha.


PENJELASAN PERKARA 6.2 :

Zero Mind Process (ZMP) BUKAN lah proses yang mesti dilalui seseorang yang ingin mencapai kemurnian suara hati seperti yang didakwa oleh Panel Pemantau. Tetapi Membersihkan fikiran dan hati dari keburukan (At-Takhalli) adalah kewajipan setiap umat Islam. Zero Mind Proses hanyalah satu ‘istilah’ yang diberikan oleh Dr Ary Ginanjar dan digunakan di training untuk menjelaskan bagaimana fikiran boleh terbelenggu dengan pelbagai hal negative hingga ia perlu dibersihkan sentiasa. Istilah Zero Mind Prosess ini bukanlah istilah dari barat seperti yang didakwa tetapi diberikan sendiri namanya oleh Dr Ary Ginanjar untuk memudahkan kefahaman peserta yang terdiri dari mereka yang berpendidikan barat (bukan berlatar belakang agama).

Untuk membersihkan fikiran dari belenggu-belenggu, Para trainer sentiasa menyarankan supaya peserta mengamalkan 3 perkara iaitu :

i. Sentiasa beristighfar
ii. Sentiasa berwudu’ dengan memberi filosofi makna di sebalik makna berwudu’ iaitu ketika membasuh tangan kita niatkan membasuh segala dosa-dosa yang dilakukan oleh tangan dan menghindari tangan ini daripada membuat dosa, begitu juga dengan anggota-anggota yang lain dengan niat yang serupa
iii. Mengambil makna dan hikmah dari pemakaian kain ihram yang bersih dan tiada lagi unsure kemewahan atau kebanggaan. Iaitu supaya kita menghindari segala perbuatan-perbuatan yang menyalahi hukum syarak ketika berihram, sebagai contoh bergaduh, melakukan jenayah, bercakap dengan perkataan-perkataan yang menyalahi akhlak Islam dan meninggalkan semua yang bersifat luaran hingga tiada lagi perbezaan darjat atau kedudukan sesama manusia.

Hasil dari ZMP adalah seseorang terbebas dari belenggu-belenggu yang disebut seperti prasangka negatif, prinsip–prinsip hidup yang menyesatkan, pengalaman yang mempengaruhi fikiran dan sebagainya. Namun, perlu difahami ZMP adalah proses yang perlu dilakukan sentiasa, tiada henti. Bukan bermakna setelah training, peserta telah bersih hatinya seperti yang difahami oleh Panel Pemantau. Seperti menjaga hati dari berprasangka buruk, membanding-banding diri dengan orang lain, menjadikan pengalaman sendiri untuk mengukur diri orang lain dan sebagainya adalah proses yang harus dilakukan setiap saat. Apabila datang sahaja fikiran yang berburuk sangka dengan orang lain, peserta diajar agar segera istiqfar dan bersihkan semula fikiran dengan bersangka baik. Apabila fikiran sudah kembali bersih, barulah sesaorang dapat melihat sesuatu perkara itu dengan jernih dan adil.


KESIMPULAN PERKARA 6 :

ZMP bukan kaedah mengosongkan fikiran seperti meditasi atau Nirvani di dalam ajaran Buddha dan ia bukan istilah dari barat. Dakwaan ini hanya memperlihatkan kedangkalan kajian yang dikatakan telah dijalankan selama 1 tahun oleh para pakar yang berwibawa.



PERKARA 7 :

Terdapat beberapa aspek dari segi penafsiran ayat-ayat al Quran yang tidak dirujuk kepada tafsir yang muktabar, penggunaan istilah tasawuf tanpa merujuk kitab tasawuf yang muktabar, aspresiasi yang menimbulkan persoalan dan pengubahan fakta-fakta penting dalam buku utama ESQ dari satu edisi ke edisi lain tanpa menarik balik buku edisi yang terawal.


PENJELASAN :


Penafsiran tidak Mengikut Tafsir/kitab Muktabar

Di ESQ penafsiran ayat-ayat Al Quran tidak dilakukan secara bebas kerana pemahaman dan penafsiran ayat-ayat Al Quran yang dilakukan oleh Dr Ary Ginanjar di buku dan modul Training ESQ sentiasa mendapat bimbingan dan nasihat daripada para tokoh dan ilmuan Islam di Indonesia (juga kemudiannya dikaji dan diteliti oleh Panel Syariah dan Akidah ESQ di Malaysia). Walaupun pemahaman dan penafsiran yang dibuat oleh Dr Ary Ginanjar di dalam buku dan modulnya didakwa tidak merujuk kepada penafsiran para ahli tafsir atau kitab-kitab tafsir muktabar, namun pemahaman dan penafsiran yang dilakukan masih di dalam landasan yang dibenarkan oleh syarak. Sepanjang penelitian Panel Syariah dan Akidah ESQ, tidak ada penafsiran atau pemahaman yang boleh dianggap terkeluar dari ruang lingkup (ihtimal) yang boleh ditunaikan oleh sesuatu ayat melalui makna yang tersirat di sebalik kalimah-kalimahnya, struktur ayat dan lain-lain yang tidak berasaskan dalil sahih.


Penggunaan istilah tasawuf tanpa merujuk kitab tasawuf yang muktabar

ESQ bukan training yang mengajar ilmu Tasawuf dan tidak menggunakan istilah-istilah Tasawuf sehingga memerlukan rujukan khas kepada kitab tasawuf muktabar.

ESQ adalah sebuah lembaga Training, Pembangunan Modal Insan yang mengambil Rukun Iman, Islam dan Ihsan sebagai asasnya. Sebarang hal berkaitan ketepatan menggunakan sesuatu istilah, di modul mahupun Training, ESQ sentiasa mendapat nasihat dan bimbingan dari Panel Syariah dan Akidah ESQ. Sekiranya ada istilah yang tidak tepat, ESQ akan membuat perubahan sesuai dengan apa yang dinasihatkan. Contoh seperti penggunaan kalimah “suara hati”. Setelah mendapat nasihat dari Panel Syariah dan Akidah ESQ, ia telah ditambah menjadi “suara hati nurani yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah”. ESQ sentiasa terbuka dengan pandangan dan teguran demi menjadikan modul Training ini lebih baik dari masa ke semasa.


Aspresiasi yang menimbulkan persoalan

Hal ini tentu merujuk kepada beberapa penghargaan yang dinyatakan oleh Dr Ary Ginanjar di buku ESQ (versi Indonesia), kepada tokoh-tokoh yang dianggap sebagai tokoh-tokoh yang menyokong fahaman Islam liberal. Penghargaan itu terdapat di Buku ESQ, yang di terbitkan pada tahun 2001. Tokoh-tokoh itu baru nyata sebagai tokoh Islam Liberal sekitar tahun 2005.


Pengubahan fakta-fakta penting dalam buku utama ESQ dari satu edisi ke edisi lain tanpa menarik balik buku edisi yang terawal.

Buku Utama ESQ yang bertajuk ESQ Emotional Spiritual Quotient, versi Malaysia, Alhamdulillah telah selesai di sunting oleh lima orang panel Syariah dan Akidah ESQ. Pelbagai pengubahsuaian dan pembaikan di lakukan supaya tidak lagi menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Draf pertama ini sedang diteliti oleh beberapa orang pakar luar yang diminta oleh ESQ, meneliti sekali lagi supaya ia menjadi benar-benar naskah yang mudah difahami oleh pembaca di Malaysia, dan tidak mengandungi istilah-istilah yang mengelirukan.

Buku ESQ versi Indonesia, sudah diberhentikan pengedarannya di Malaysia oleh ESQ Leadership Center, semenjak dari tahun 2006. Di Indonesia sendiri, walaupun buku ESQ telah berada di pasaran sejak 10 tahun yang lalu, ia terus di melalui proses pembaikan dari masa ke semasa. ESQ sentiasa terbuka dengan usaha untuk menambahbaikkan Training ini dan sentiasa membuka pintunya untuk perbincangan.

Dakwaan yang mengatakan ESQ tidak melakukan perubahan setelah ditegur adalah tidak benar. Semua teguran di ambil dan dikaji oleh Panel Syariah dan Aqidah ESQ untuk mencapai kata sepakat, bagaimana perubahan itu dilakukan dan bagaimana alternative yang dicadangkan. Ada teguran-teguran individu tertentu yang mungkin tidak diambil, bukan kerana ESQ tidak menghormati kredibilitinya sebagai seorang ulama atau ustaz, tetapi hal-hal berkaitan agama ini sentiasa ada ruang perbezaan yang dibenarkan syarak.





PERKARA 7 :

Agama Islam diletakkan terlalu inskusif, sedangkan Islam bersifat ekskusif.


PENJELASAN :

ESQ tidak meletakkan Islam terlalu inskusif. ESQ perlu di lihat dalam konteks dakwah, mendekatkan nilai-nilai agama ini kepada umat yang sudah jauh meninggalkannya dalam kehidupan seharian.

Menjaga kesucian Islam tidak sekadar memeliharanya dari penafsiran salah dan dipesongkan kefahamannya tetapi juga bagaimana menjadikan masyarakat dekat, cinta dan ingin hidup di landasan agama yang benar lagi lurus ini. Sesungguhnya beruntunglah umat Islam yang berada di dalam agama kebenaran ini, namun hakikatnya semua manusia berhak mengenali dan mengetahui kebenaran dan keindahan Islam yang sempurna.

Buku dan Modul Training ESQ dibentuk untuk memperkenalkan keindahan dan kesempurnaan Islam melalui Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan di dalam pembangunan Modal Insan. Ia terbuka kepada semua bangsa dan agama kerana dari sinilah diharap menjadi jambatan mereka mengenali kesempurnaan ajaran Islam yang bukan hanya untuk kehidupan akhirat tetapi menyediakan panduan lengkap untuk kehidupan di dunia ini.

Contohnya di dalam Modul Character Building. Peserta di dedahkan tentang pentingnya membangunkan karakter. Dalam Islam antara hikmah solat adalah dapat membentuk karakter yang mulia dan teguh. Peserta bukan Islam boleh mendapatkan ilmunya tetapi mereka tidak dapat mengamalkannya. Ini adalah pendedahan kepada mereka betapa Islam itu sangat sempurna dan lengkap untuk kejayaan di dunia dan akhirat. Hal ini bukan untuk menjadikan nilai-nilai ekskusif menjadi inklusif tetapi sebagai seruan kepada kebenaran dengan cara hikmah.

Bahasa Inggeris digunakan di kebanyakan istilah ESQ bukanlah untuk menggantikan rukun agama tetapi sebagai usaha membawa Nilai-nilai Rukun Iman, Islam dan Ihsan ke peringkat dunia, sesuai dengan keyakinan kita semua bahawa Islam adalah solusi umat dunia.


KESIMPULAN :

ESQ samasekali tidak menjadikan Islam sebagai sesuatu yang insklusif. Tetapi Islam dapat didekatkan dengan umat hingga keindahan dan kebenarannya dapat diyakini, dirasakan dan diterima dunia.

Kerana itu ESQ Training sangat perlu menggunakan pendekatan yang menarik perhatian peserta serta dapat memudahkan kefahaman peserta yang kebanyakannya sudah banyak terdedah dengan ilmu pengurusan dan pentadbiran dari barat.




PENUTUP

Semua jawapan dan penjelasan di atas adalah usaha untuk mengurangkan kekeliruan dan kebingunan masyarakat yang terdedah dengan konflik ’pengharaman’ ESQ. Sesungguhnya masih banyak perkara yang boleh diperbincang dan diperbaiki jika pintu muzakarah dibuka seluas-luasnya.

Sesuatu yang baru, pasti menimbulkan pertikaian dan perbezaan cara pandang. Sekiranya kita bimbang Al Quran dan As Sunnah ‘disalah’ guna, inilah peranan para ulama membimbing dan menuntun para rakyat. Inilah fungsi Panel Syariah & Akidah, bukan melindungi Al Quran dan As Sunnah hingga rakyat takut menggunakannya, tetapi mendekatkan Al Quran dan As Sunnah hingga menjadi ‘cara hidup’ yang mudah diikuti dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia dalam setiap kehidupan.

ESQ Training adalah training yang terbuka kepada sesiapa saja, hingga ia bebas dinilai oleh sesiapa sahaja. Walaupun ia ditolak oleh segolongan pihak, namun ia juga telah sangat-sangat dialu-alukan oleh pelbagai golongan di Malaysia yang telah merasai manfaatnya. Adalah menjadi dasar rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka dan mencintai ilmu, sentiasa mengalukan pendekatan dan ilmu yang terbukti keberkesanannya, membawa perubahan peribadi ribuan individu di Malaysia dan memperbaiki ribuan institusi kekeluargaan dan syarikat di Malaysia. Tidak salah untuk kita belajar dari kejayaan masyarakat di Barat, di Jepun begitu juga dengan rakyat serumpun dan seagama iaitu dari Indonesia.

Kebanyakan peserta Training ESQ adalah mereka yang mengkagumi barat dan jauh dari ilmu agama. Namun apabila didedahkan dengan kehebatan Al Quran dan kebenaran Islam, mereka kembali menjadikan “Islam The Way Of Life”. Yang tidak solat, belajar mengerjakan solat. Yang tidak pernah ke masjid, mula ke masjid dengan majlis-majlis pengajian ilmu. Anak-anak yang melawan ibu bapa, kembali menyedari kesalahan dan berubah. Ibu bapa yang selama ini hanya mementingkan pendidikan akademik, mula mendidik anak-anak berlandaskan agama Islam. Secara umumnya, boleh disimpulkan bahawa masyarakat yang jauh dari agama, kini dibawa mendekatinya dengan cara yang hikmah tanpa paksaan. Harga kesedaran ini tidak ternilai.

Mari kita hayati sharing Dato’ Hushamuddin, CEO Karangkraf ini ;

“32 tahun saya mengamalkan ilmu barat yang jelas di ambil dari Yahudi, orang memuji management saya hebat. Tapi baru 2 tahun saya belajar dari orang Islam dan mengamalkan ilmu pengurusan Islam dari nilai rukun Islam, Iman dan Ihsan yang jauh lebih hebat dari barat… orang menuduh saya Yahudi…”

Sebagai akhirnya, ingin ditegaskan bahawa ESQ berusaha menyampaikan inti Modul iaitu dari Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan dengan cara yang hikmah seperti perintah Allah di dalam Al Quran, yang bermaksud ;

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik , dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” QS An Nahl 125-126

Sesungguhnya tidak ada yang sempurna melainkan Allah SWT. Manusia hanya berusaha dan merancang, hasilnya adalah hak Allah yang Maha berkehendak.

Firman Allah yang bermaksud ;

”Sesungguhnya engkau (wahai Muahammad) tidak berkuasa memberikan petunjuk kepada sesiapapun yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan siapa yang mendapat petunjuk (kepada memeluk Islam)” QS Al Qasas : 56