BILA AIR DICINCANG...



Kisah 1 : Anak saudaraku Liberal!


Seorang ustazah tiba-tiba datang kepada saya dan dengan suara marah menyatakan "awak ni orang ESQ ke?" Saya yang kebetulan sedang makan ketika itu, terpaksa berhenti dan segera mempelawa dia duduk di sebelah saya.
"Duduk dulu kak... ya saya orang ESQ, ada apa-apa boleh saya bantu?"

"Tak, tak payah duduk... saya nak cakap sikit je! tentang anak sedara saya... sejak ikut ESQ, dia tak nak dengar cakap saya dah!! Melampau betul! ini ke nilai murni yang kononnya ESQ ajarkan? Apa benda nilai murni macam ni?

Kerana kakak ustazah tak mahu duduk, terpaksalah saya berdiri supaya seimbang bila berbicara. Saya senyum memandang dia yang sebenarnya seorang wanita yang cantik dan menarik. namun kerana wajahnya yang marah dan 'sakit hati', wajah semanis itu boleh hilang serinya. Yang terlihat adalah kerut-kerut di dahi dan pinggir bibir yang sebenarnya sangat di bimbangi kehadirannya oleh kaum wanita. Melihat saya meneliti mukanya, ustazah itu menjegilkan matanya pada saya. Saya tersentak tiba-tiba dan tersedar yang fikiran saya sudah menjangkau jauh dari topik pertanyaan. Mengapa kerut diwajah dia pula saya perhatikan, sedangkan yang memerlukan ubat adalah kerut di hatinya. Saya istiqfar beberapa kali sebelum cuba menjawab persoalannya. Saya membahasakan dirinya 'kak' agar lebih mesra dan dekat.

"Kak... berapa umur anak sedara akak tu?"

"17 tahun!" jawabnya singkat. Matanya masih bulan menanti kata-kata yang akan saya ucapkan. Saya jadi tidak selesa sendiri di tatap begitu. Apakah mungkin dia juga memerhatikan kedut-kedut muda yang mula menjalar di wajah saya yang akan memasuki gerbang 40 tahun hadapan? Entahlah... dan biarlah. Saya mahu fokus kepada isu yang dipertanyakan.

"oo.. 17... bila dia ikut training ESQ?" Tanya saya lagi. Ustazah itu kelihatan berfikir seketika sebelum menjawab dengan wajah sedikit ragu, "Kalau tak salah bulan lepas!" Saya mengangguk-angguk sambil cuba berfikir. Setelah diam seketika, saya bertanya lagi, "apa maksud akak dia tak nak dengar cakap akak lepas ikut ESQ?"

"Saya suruh dia pakai tudung! Dia kata belum lagi! malah dia pandai melawan dengan suruh saya datang training!!"

Saya mengangguk-angguk cuba memahami. Saya memandang ustazah itu lebih dalam. "Kak... sebelum ni macamana perangai dia? maksud saya, dia solat tiap waktu ke, dia pakai tudung ke?

Ustaz itu kelihatan terdiam. Menarik nafas dalam. Dalam serba-salah cuba menjawab... "Memanglah tak solat penuh... bila dipaksa baru nak solat. Bila tak di marah, buat tak tahu je..."

"Sekarang?" Tanya saya terus, tidak memberi kesempatan dia menyambung. Ustazah menarik nafas dalam... " Sekarang mudah la sikit... dalam sebulan ni memang dia sembahyang tak tinggal... tak payah di suruh dia dah solat. Tapi isunya sekarang bukan solat, tapi tudung! Saya nak dia bertudung!! saya tak nak dia jadi liberal!!"

Saya sedikit tersentak mendengar kata-kata terakhir ustazah itu. Jadi liberal? Apakah maksudnya? Saya memandang ustazah itu tak berkelip. Mata kami bertentang mata, tapi lidah masih kelu untuk bertanya. Akhirnya tanpa ditanya, ustazah itu menjelaskan kata-katanya sendiri.

"Ya... jadi liberal. Solat tapi tak nak bertudung... macam ada golongan itu... golongan liberal! saya tak mahu anak sedara saya terpengaruh dengan Islam liberal macam ESQ!!"

Astaqfirullah... saya beristiqfar panjang. Saya cuba mengawal emosi yang mula tersentuh apabila dengan mudah seorang ustazah menuduh liberal kepada saudara sesama Muslim. Saya cuba memahami isu sebenar persoalan yang dipertanyakan. Saya mengangguk-anggguk kecil sebelum bersuara.

"Tapi anak saudara akak dah solatkan? Dah rajin dan mahu istiqamah solat kan?"

"Ya... tapi tu tak cukup! Tudung tu penting!!" Jawabnya tegas tanpa kompromi. Saya tersenyum..

"Apakah akak dah puji dan lahirkan rasa gembira lihat perubahan dia rajin dirikan solat?"

Ustazah itu diam, tidak menjawab. Saya memandang dia menunggu jawapan. Akhirnya dia menjawab, "Tak... kenapa pulak nak puji-puji! Nanti dia buat ibadah tak ikhlas!"

Saya hanya mampu tersenyum mendengar jawapan seorang ustazah. Saya bertanya lagi, "Apakah dia pernah menyuarakan pandangan menolak kewajipan menutup aurat?" Tanya saya tenang. Ustazah menggelengkan kepalanya dengan wajah tanpa senyum. Dia menjawab, "Memang la tak pernah... cuma kalau dia dah solat, rajin pulak tu... apa yang menghalang dia bertudung? kalau bukan dah ditanam pemikiran liberal? Sampai tudungpun tak payah pakai!"

Saya memegang tudung saya yang menutupi kemas kepala dan dada saya. Saya perlihatkan kepadanya. "Kak... saya bertudungkan? kalau tudung ukuran liberal atau tidak sesaorang... tentulah saya tak liberal kan? Dia mendengus. "Ye la awak je... tapi ramai juga saya lihat alumni ESQ tak bertudung, sedar apa tu?"

kali ini saya mula lebih mahu berterus-terang. Saya pandang matanya, "Akak sendiri yang mungkin menjadi penghalangnya..." Jawapan saya menyentak ustazah. Ustazah itu sekali lagi membulatkan matanya memandang saya tak berkelip. Kelihatan dia amat-amat terkejut dengan kata-kata saya.

"Apa saya? Kenapa pulak saya? saya yang menyuruh dia pakai tudung! Tak pernah saya halang dia!!"

"Maksud saya... sikap akak mungkin membuatkan dia jadi macam tu... kebaikan yang dia buat akak tak nampak besar dan hargai, tapi yang belum mampu dia lakukan yang akak perbesar dan jadikan isu... itu tak dapat memaotivasi dia melakukan kebaikan. Tambahan lagi, dia kan anak remaja... yang tak boleh hanya di paksa, perlu di nasihati dengan baik dan difahamkan. Macam solat... kenapa dulu berbuih mulut akak suruh dia solat, tapi dia tak buat? Sedangkan di ESQ takpun di paksa solat... sebaliknya diceritakan kebesaran, kebenaran dan keindahan Islam hingga akhirnya dia pulang dari Training, terus rajin kerjakan solat... cuba akak fikirkan... kenapa agaknya?"

Ustazah itu terdiam. Kesempatan ini saya ambil untuk menjelaskan lagi kepadanya, "kak... memang ada alumni ESQ yang belum bertudung... tapi kan kita disuruh Allah bersabar dalam mendidik. Kita utamakan dulu kefahamannya kepada agama. Biar dia kenal Allah, cinta Rasulullah... dekat kepada Al Quran dan mula meyakini agama Islam... insyaAllah perlahan-lahan keinginan untuk mentaati Allah dalam setiap hukum-hakam tu akan bertambah dari hari ke hati. Berapa banyak budak-budak sekolah yang kita paksa pakai tudung, tapi akhirnya tertangkap khalwat dan ada yang sudah mengandung anak luar nikah? Di depan ustazah bertudung dan 'baik' sebab takut di marahi sedang di dalam dada, kosong dari iman dan keyakinan apatah lagi cinta kepada Allah. Siapa yang patut dipersalahlkan?"

Ustazah itu keliahatan tidak selesa mendengar ceramah saya. Tapi dia tidak menunjukkan apa-apa tanda supaya saya berhenti bercakap. Kesempatan itu saya ambil terus untuk menjelaskan, "kak... dulu saya susah hati macamana nak ajar anak-anak dan remaja zaman ni agar cinta pada Allah dan rasulullah. macammana nak dekatkan mereka dengan Al Quran dan As Sunnah... baru nak cerita mereka dah boring. Tapi alhamdulillah, ESQ training ni ada metode bagaimana nak buat orang boleh stay 3 hari untuk mendengar tentang Allah dan kebenaran Al Quran. malah beban dakwah dapat ditanpung bila peserta yang datang, sanggup membayar hingga training ini dapat dijalankan secara berterus insyaAllah sampai 10 tahun ke hadapan... malah mungkin lebih. Yang berubah siapa? anak-anak kita, anak saudara mara kita, anak jiran-jiran kita juga... tapi tak boleh semua nak kita harapkan pada training. Sebagai ibu bapa atau penjaga, kesedaran yang dah ditanam itu harus perlu terus disuburkan dengan nasihat-nasihat yang baik dan penuh hikmah. Jika anak kita pulang dah nak solat, patut kita syukur dan hargai. galakkan dan beri support. InsyaAllah, kebaikan itu akan terus dilakukan. Jika tak sekarang dia bertudung, mungkin sebulan dua lagi... janganlah kebaikan yang dia buta, kita balas dengan sangka buruk yang bukan-bukan!"

Kelihatan ustazah mula terdiam. Saya melihat jam, sudah menunjukkan yang saya harus segera kembali ke dewan training. Sebelum meminta diri, saya memegang tangan ustazah itu dengan lembut.

"Kak... generasi muda ni tanggungjawab kita bersama... sama-sama kita pikul amanah dan tanggungjawab ni ye... ESQ tidak mengajarkan Islam liberal. Tetapi ESQ mengajarkan iman, islam dan ihsan... sebaiknya akak ikut training juga supaya akak faham apa yang dah anak saudara akak lalui dan mungkin akan lebih faham bagaimana untuk mendorong dia terus melakukan kebaikan... saya minta maaf kalau ada bahasa saya yang salah dan kasar... saya terpaksa pergi sekarang..."

Sebelum berpisah, dia memeluk saya erat. kami bersalaman mesra. walau tidak ada sebarang kata ucap terima kasih atau tanda menerima kata-kata saya, tapi cukuplah pelukan hangatnya telah bersuara untuk memikirkan apa yang telah disampaikan.

Saya segera ke dewan training dengan perasaan berbaur. Alangkah mudahnya manusia menghukum... namun, tidak salah untuk kita terus bersabar menjelaskan apa yang terdaya. Bukankah itu ruang untuk kita membuktikan cinta dan keyakinan... terima kasih ya Allah. Aku terus diberi peluang untuk menyampaikan kebenaran walaupun satu ayat... terima kasih...